AMIRA
AMIRA
Michelle Gun


Nama penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Amira Othman mula menjadi sebutan ramai selepas lakonan pertamanya dalam drama bersiri Abang Bomba I Love You bersama Hisyam Hamid menyerlah.

Bagaimanapun, lakonan pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman ini tidak terhenti di drama 26 episod itu.

Selepas Abang Bomba I Love You menamatkan kisahnya, beberapa tawaran berlakon drama dan telefilem memburu penyanyi berusia 24 tahun ini.

Biarpun menyedari tawaran itu peluang baik untuk mengasahkan bakat lakonannya, Amira terpaksa menolak berikutan jadual nyanyiannya padat.

“Oleh kerana tarikh penggambaran bertembung jadual nyanyian, saya terpaksa menolak tawaran berlakon.

“Minat berlakon sudah tentu ada, cuma buat masa ini saya mahu tumpu perhatian sepenuhnya terhadap nyanyian,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut penyanyi lagu Jaga Jaga ini, dia bukannya menolak rezeki, tetapi tidak mahu menyusahkan produksi sekiranya lambat ke lokasi penggambaran.

“Saya tidak suka terkejar-kejar melakukan sesuatu dan lebih elok sekiranya dapat memperuntukkan masa sepenuhnya untuk lakonan sahaja.

“Bagaimanapun, saya merancang berlakon sekurang-kurangnya dua drama pada tahun ini,” katanya.

Bercerita mengenai Jaga Jaga, Amira berkata, keputusan menggunakan judul hampir sama dengan single Hati Hati agar pendengar mengetahui lagu itu nyanyiannya.

“Pihak pengurusan mahukan lagu saya ada konsisten. Apabila Jaga Jaga dimainkan, pendengar dapat meneka ia nyanyian saya,” katanya.

Menurutnya, single itu dicipta rakan seperjuangan dalam AF 2013, Faizul Sany yang juga juara program realiti itu.

“Hati Hati juga diciptakan Faizul dan Hael Azahael. Selepas tamat Akademi Fantasia, saya jarang bertemu Faizul, namun masih berhubung menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.

Jaga Jaga yang juga lagu runut bunyi (OST) Abang Bomba I Love You ditonton lebih enam juta kali di laman sosial YouTube sejak dimuat naik pada 16 September tahun lalu.

Menurut Amira, bukan mudah menghasilkan OST kerana perlu memastikan lagunya sesuai untuk sesebuah karya.

“Biasanya pihak pengurusan yang menghantar lagu ke produksi untuk dinilai. Namun, lagu itu perlu sesuai dengan jalan cerita drama barulah dapat diangkat sebagai OST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:01 AM