SHAHIR menyeru supaya jangan cepat mengecam tanpa usul periksa.
SHAHIR menyeru supaya jangan cepat mengecam tanpa usul periksa.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Shahir menyeru orang ramai supaya memainkan peranan masing-masing dengan tidak mengecam tanpa usul periksa membabitkan sesuatu perkara yang tular.

Ia susulan beberapa isu yang tular di laman sosial termasuk membabitkan pelakon Zul Ariffin menerusi video 'teaser' drama Perempuan Itu hingga mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Shahir, 34, atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi berkata, budaya sebegitu perlu dielakkan masyarakat demi kehidupan aman bersama.

"Saya berasa apa jua bentuk yang kita lihat seperti yang digambarkan itu mungkin satu ujian. Kita cuba ambil dari sudut yang positif. Kalau seseorang berkelakuan sebegitu, barangkali dia ada masalah sendiri yang kita tak tahu pun.

"Kadang-kadang, kita yang melihat ini pun diuji juga sama ada kita mengecam semata-mata atau kita bantu mereka untuk berubah," katanya.

Terdahulu, Shahir ditemui pada majlis pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah, baru-baru ini.

Justeru, Shahir berharap orang ramai tidak hanya pandai mengecam, namun pada masa sama, belajar untuk memaafkan dan sama-sama perbetulkan apa yang salah.

SHAHIR bakal muncul dalam program Hijrahkan Laguku Reunion Raya.
SHAHIR bakal muncul dalam program Hijrahkan Laguku Reunion Raya.

"Saya menyeru untuk sama-sama kita membantu sahabat-sahabat kita yang berdepan ujian. Mungkin ada kelemahan dari segi cara mengendalikan media sosial dan kita sebagai saudara seislam sepatutnya saling menasihati.

"Jangan diperbesarkan isu dengan mengecam sebab tiada manusia yang tak buat silap di dunia ini. Jadi, kita cuba maafkan dan insya-Allah, kita perbetulkan sama-sama. Kita tengok salah orang lain, tapi tak tengok silap diri sendiri.

"Bagi saya, kalau semua sibuk mengecam akhirnya, orang yang buat silap akan kekal begitu," kata Shahir.

Bersempena sambutan Syawal ini, Shahir bakal muncul dalam program Hijrahkan Laguku Reunion Raya pada raya kelima, jam 9 malam di TV Alhijrah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 6:30 AM