NAFUZI berpuashati dengan tahap perkembangan pasukan dalam persediaan menuju saingan Liga Super. FOTO Izzali ismail
NAFUZI berpuashati dengan tahap perkembangan pasukan dalam persediaan menuju saingan Liga Super. FOTO Izzali ismail
Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (FC) Nafuzi Zain menganggap kesetiaan yang ditunjukkan setiap pemain ketika berdepan masalah tunggakan gaji musim lalu yang kini sudah diselesaikan sebagai satu pengorbanan yang cukup sukar dibalasnya.

Menurut Nafuzi, pengorbanan pemainnya amat berharga dan cukup bermakna dalam membentuk satu keluarga baharu menghadapi saingan Liga Super yang membuka aksinya pada Mei ini.

"Saya perlu berterima kasih kepada semua pemain yang lama dan juga pemain import baharu kerana masih setia bersama saya walaupun kita tahu kami dilanda 'ribut taufan' dan berbagai masalah sebelum ini.

"Mereka kekal berdiri teguh dan tetap memberi sokongan terbaik untuk saya sama ada dalam latihan ataupun perlawanan pramusim ini dan saya gembira serta bersyukur dengan perkembangan yang ditunjukkan ini.

"Walaupun dengan pelbagai masalah yang melanda, namun semua pihak seperti pegawai dan juga semua pemain tetap memahami masalah yang telah dihadapi dengan terus setia bersama-sama saya dan pasukan, dan perkara itu saya rasa tak dapat saya nak balas kembali," katanya.

Menyentuh mengenai aksi pramusim yang menyaksikan KDA FC menewaskan Penang FC 3-1 di Stadium Darul Aman semalam, Nafuzi turut meluahkan rasa puas hatinya setakat ini terhadap persiapan dan perkembangan yang dilalui pasukan bagi memulakan saingan sebenar Liga Super.

Pada aksi penuh semangat yang ditinjukkan pemain Sang Kenari semalam, dua gol diraingkan oleh penyerang utama Milos Gordic sementara satu gol oleh Habib Haroon. Manakala gol Penang FC pula dijaringkan oleh pemain import Richmond Ankrah melalui tandukan tepat membolosi pintu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 1:33 PM