SHAHIR fokus pada kerjaya seni selepas industri hiburan ‘bernafas’ kembali.
SHAHIR fokus pada kerjaya seni selepas industri hiburan ‘bernafas’ kembali.
Sudirman Mohd Tahir


MASIH single. Itu status penyanyi Shahir yang juga bekas juara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).

Shahir, 34, atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi berkata, kalau diikutkan hati, dia ingin segerakan perihal menamatkan zaman bujang.

"Statusnya belum berpunya. Sekarang ini saya sibuk dengan kerja sebab kita semua pun baru nak 'bernafas' balik selepas diuji dengan pandemik Covid-19.

"Industri hiburan baru rancak kembali. Sekarang ini banyak sangat isu dan saya sendiri belum berjumpa jodoh sesuai.

"Saya ada masalah nak buat banyak perkara dalam satu masa. Saya rasa pun sudah pernah ceritakan mengenai perkara ini pada media. Jadi, kalau saya kerja takut perkara ini (peribadi) mengganggu. Jadi, biar kita fokus apa yang terbentang di depan mata," katanya.

Menurut Shahir yang juga penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan, disebabkan tidak boleh fokus banyak perkara dia mahu memberi fokus pada kerjaya dulu.

"Saya pun baru nak keluar lagu baharu. Lagu terakhir yang saya kongsikan dengan peminat ialah kira-kira lapan atau sembilan tahun lalu.

"Fokus ke arah kerja dulu, lebih baik begitu. Kita merancang dan alhamdulillah, setakat ini saya tak menghilang lagi kan? (ketawa)," katanya.

Diakui nama Shahir pernah menjadi kegilaan ramai selepas tamat program AF8.

Namun, segalanya berubah. Zaman kegemilangannya sudah berakhir dan kini, dia hanya meneruskan pelayaran dengan apa bakat yang dipinjamkan Allah SWT.

"Perjalanan macam mana sekalipun, kita kena lalui. Tuhan aturkan kedudukan atas atau bawah, yang penting kita kena sedar yang kita tak boleh elak perjalanan semua itu.

"Atas atau bawah, ujiannya tetap sama. Jadi, saya hanya meneruskan perjalanan dan kita cuba jadi yang lebih baik.

"Insya-Allah kalau ada ruang, saya nak terbabit juga dalam bidang lakonan, namun buat masa sekarang, fokus saya memang 100 peratus dalam bidang nyanyian dan terbaharu, mengacara," katanya yang baru sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Qasidah untuk Qamilah duet bersama Mawi.

Media sosial ada keburukan

Dalam masa sama, Shahir melontarkan pendapat berkenaan landskap industri hiburan masa kini yang mudah tersepit dengan gosip murahan demi melariskan sesuatu perkara.

Menyedari kekecohan yang timbul dalam industri hiburan tanah air sejak akhir-akhir ini, Shahir menyarankan dan menyeru orang ramai supaya memainkan peranan masing-masing.

Shahir berkata, budaya mengecam tanpa usul periksa patut dihindari masyarakat demi kehidupan aman bersama.

"Saya rasa apa jua bentuk yang kita lihat seperti yang digambarkan itu mungkin satu ujian.

"Kita cuba ambil dari sudut yang positif. Kalau seseorang berkelakuan sebegitu, barangkali dia ada masalah sendiri yang kita tak tahu pun.

"Kadang-kadang, kita yang melihat ini pun diuji juga sama ada kita mengecam semata-mata atau kita bantu mereka untuk berubah," katanya.

Sehubungan itu, Shahir juga juara program Hijrahkan Lagu terbitan TV Alhijrah berharap orang ramai tidak hanya pandai mengecam, namun pada masa sama belajar untuk memaafkan dan sama-sama perbetulkan apa yang salah.

"Saya menyeru untuk sama-sama kita membantu sahabat-sahabat kita yang berdepan ujian. Mungkin ada kelemahan cara dari segi cara mengendalikan media sosial dan kita sebagai saudara seislam sepatutnya saling menasihati.

"Jangan diperbesarkan isu dengan mengecam sebab tiada manusia yang tak buat silap di dunia ini. Jadi, kita cuba maafkan dan insya-Allah, kita perbetulkan sama-sama. Kita tengok silap orang lain, tapi tak tengok silap diri sendiri. Bagi saya, kalau semua sibuk mengecam akhirnya, orang yang buat silap akan kekal begitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 6:30 AM