FLOOR 88 bakal menarik golongan muda datang menonton.
FLOOR 88 bakal menarik golongan muda datang menonton.
Ridzuan Abdul Rahman


Lagu-lagu rakyat adalah satu khazanah yang amat berharga kepada masyarakat terutama generasi akan datang.

Malaysia diakui kaya dengan lagu rakyat yang sering dialunkan dan didodoikan nenek moyang sejak zaman berzaman.

Sekiranya lagu-lagu rakyat tidak lagi diperturunkan, maka ia terpinggir dan tidak keterlaluan akan lenyap ditelan arus permodenan.

Justeru, ini mendorong Istana Budaya melalui Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) untuk tampil dengan Konsert Lagu Rakyat selama dua malam di Panggung Sari, Istana Budaya pada 25 dan 26 Mac depan.

Konsert yang diisi dengan lagu rakyat malar segar ini menampilkan penyanyi popular tanah air seperti Datuk Zainal Abidin, Floor 88, Bunga, Azizul Haqim, Hazra Dollah, Roslan Madun, Jatt Aziz dan kumpulan Mah Meri.

Jurucakap Istana Budaya berkata, konsert selama satu jam setengah ini pasti menjadi tarikan kepada peminat yang gemar 'sing a long' bersama lagu nostalgia zaman kanak-kanak.

"Setiap gubahan lagu disuntik nafas baharu dan segar bagi menarik minat pendengar tanpa mengabaikan ciri-ciri keaslian dan artistik.

"OTM pula sudah melakar nama dalam industri muzik tanah air melalui penyampaian lagu tradisional dengan harapan untuk bersama-sama memupuk dan memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia.

PERSEMBAHAN Zainal dinantikan peminat.
PERSEMBAHAN Zainal dinantikan peminat.

"Konduktor dan Pengarah Muzik OTM, Yazid Zakaria pernah menyatakan hasrat untuk menjadikan OTM sebagai salah satu rujukan subjek lagu asli dan tradisional kepada anak muda yang berminat dalam genre terbabit.

"Yazid mengalu-alukan pelajar sekolah serta universiti untuk mendapatkan ilham dan pandangan daripada pemuzik OTM. Ini kerana dengan adanya interaksi sebegini, pastinya akan tersemai rasa cinta masyarakat terhadap komposisi lagu dan muzik tempatan terutama genre tradisional.

"Kami percaya penonton pasti akan terpesona dengan nyanyian Zainal dan penyanyi lain yang masing-masing mempunyai kualiti nyanyian memikat.

"Tak ketinggalan kami turut menyasarkan golongan muda hadir menonton apabila mengundang Floor 88 untuk turut serta," katanya.

Tiket dijual dengan harga RM88, RM98, RM108, RM158 dan potongan 10 peratus untuk tempahan awal (early bird) bermula dari 28 Februari lalu hingga 11 Mac depan.

Tiket boleh ditempah di laman web Istana Budaya www.istanabudaya.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 6:30 AM