KONSERT Saujana 25 Tahun dengan diiringi OTM pada di Zepp Kuala Lumpur.
KONSERT Saujana 25 Tahun dengan diiringi OTM pada di Zepp Kuala Lumpur.
Norhayati Nordin


Esok, Konsert Saujana 25 Tahun berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Pastinya, persediaan rapi sudah rancak dibuat kumpulan Saujana bersama pemuzik dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Istana Budaya.

Dibawah pimpinan muzik Yazid Zakaria, ia kerjasama pertama kumpulan Saujana dianggotai Mohammad Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman, Ahmad Zuhaidi Abd Aziz,Dr Khairul Idzwan Baharin, Mohd Hakimi Harun, Dr Faizul Hizal Ghazali dan Wan Najran Wan Noh dengan OTM untuk konsert.

Meninjau ke lokasi latihan persembahan mereka baru-baru ini, sememangnya semua yang akan terbabit dalam Konsert Saujana 25 Tahun bersungguh-sungguh membuat persediaan rapi. Malah, semua anggota Saujana juga komited memberi kerjasama.

Apatah lagi, difahamkan penjualan tiket Konsert Saujana 25 Tahun juga lancar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Sebanyak lebih 75 peratus tiket sudah dijual.

Mohammad Suffian berkata dia bersama enam lagi anggota Saujana nekad bergabung semula untuk menghiburkan peminat mereka. Katanya, Saujana mempunyai kelompok peminat 'tegar' yang menyokong sampai sekarang.

"Daripada kami bertujuh, sebenarnya hanya beberapa yang masih aktif dalam karier seni dan industri hiburan. Manakala, beberapa yang lain lagi sudah terikat dengan kerjaya tetap masing-masing. Tapi, Konsert Saujana 25 Tahun menyatukan kami semula.

"Dan, tak sangka juga maklum balas penjualan tiket diterima daripada orang ramai sangat baik. Apapun, Saujana cuba menampilkan persembahan mantap pada malam konsert kerana kami ada elemen kejutan.

"Kami mahu penonton terhibur, berasa puas dan gembira dengan persembahan dilalukan.

Ditambah, lagu-lagu Saujana juga berteraskan kerohanian tapi dalam konsert ini ada kelainannya. Nak tahu, kena datang saksikan malam Ahad ini ," katanya.

Menurut Mohammad Suffian, apa yang pasti persembahan Saujana dengan pemuzik OTM cukup mantap. Katanya lagi, semestinya menyanyikan lagu nasyid secara orkestra adalah sesuatu yang mencabar dan amat menarik.

Bagi Dr Khairul Idzwan atau Idzu, dia semakin teruja untuk menjayakan Konsert Saujana 25 Tahun itu. Katanya, dia yakin ramai peminat setia Saujana akan hadir menyaksikannya kerana ada banyak lagu yang diminati mereka.

"Saya tidak sangka, kebanyakan lagu Saujana masih popular hingga kini. Antaranya, Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati, Sepohon Kayu, Sendiri, Usia Antara Masa, Bulan Bintang, Rahmat Kasihmu dan Lakaran Minta.

"Ramai orang tahu dan kenal lagu kami sampai sekarang. Walaupun, ada anggota Saujana sudah memiliki kerjaya lain dan bukan menyanyi lagi, tapi peminat Saujana masih mengenal kami. Saya berasa amat gembira dan terharu," katanya.

Bakal menyampaikan rangkaian 20 lagu Saujana dalam konsert hampir dua jam itu, turut diundang juga penyanyi jemputan seperti Nazrey Johani, kumpulan Awla dan seorang lagi penghibur popular yang masih dirahsiakan namanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 6:45 AM