ASMIDAR percaya pada bakat dimiliki.
ASMIDAR percaya pada bakat dimiliki.
Sudirman Mohd Tahir

BIARPUN namanya dilihat kurang menyerlah dalam industri muzik tanah air, Asmidar mengakui tidak pernah terfikir untuk mengejar publisiti.

Asmidar, 36, atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad berkata, lebih 10 tahun bergelar anak seni sudah cukup mematangkan dirinya yang mana apa yang ingin ditonjolkan adalah bakat dimiliki.

Menurut juara program Vokal... Bukan Sekadar Rupa 2011 ini, dia mahu menjaga nama keluarga dengan baik tanpa mencetuskan sebarang isu buruk atau gimik murahan.

"Persoalannnya, adakah kita kena kotorkan nama untuk naikkan nama? Kalau kita boleh bagi contoh yang baik, kenapa tidak kita beri yang baik saja.

"Walaupun orang cakap 'bad publicity is still publicity' tapi adalah lebih baik kalau kita tunjukkan contoh yang baik.

"Seboleh-bolehnya, saya nak menjaga nama dan bawa nama keluarga saya dengan baik," katanya.

Sementara itu, Asmidar yang popular menerusi lagu Mimpi Sampai Ke Bintang mengakui dia tidak pernah ditawarkan untuk menyertai program Gegar Vaganza (GV).

SEDIA untuk sertai GV pada musim akan datang.
SEDIA untuk sertai GV pada musim akan datang.

Bagaimanapun, dia berharap pihak produksi memberikan peluang untuk dia sertai program itu pada musim akan datang.

"Kalau ada rezeki, apa salahnya. Bagi saya, GV ini satu platform yang besar. Cuma saya belum lagi dapat peluang untuk masuk.

"Ikutkan sudah beberapa tahun juga orang sebut nama saya apabila ada GV. Tapi masih belum ada tawaran lagi. Belum ada rezeki saya.

"Insya-Allah mana tahu GV akan datang, saya diberi peluang. Tapi memang sebelum ini, tak pernah lagi dapat la," katanya.

Terbaharu pada peringkat akhir GV 8 yang lalu, Asmidar dijemput membuat persembahan.

"Alhamdulillah saya diundang untuk membuat persembahan pada Gegar Vaganza Final showcase dan Youtube Live+. Terima kasih Astro kerana memberi saya peluang dan terima kasih pada pasukan GV yang membantu saya di tepi pentas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 6:25 AM