HADY ambil kesempatan ubah diri. FOTO: Hafiz Sohaimi
HADY ambil kesempatan ubah diri. FOTO: Hafiz Sohaimi
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


HANYA segelintir peminat mengenali Hady Mirza apabila dia diumumkan sebagai peserta Gegar Vaganza musim ke-6 dari Singapura bersama penyanyi Black Dog Bone, Jatt.

Hady atau nama sebenarnya Mohammad Mirzahady Amir, 39, berusaha memberikan yang terbaik dan persembahan mantapnya dengan lagu Demi Cinta pada minggu kedua GV ternyata memukau peminat.

Pemenang musim kedua Singapore Idol pada 2006 ini berkata, dia tidak pernah berkecil hati dengan situasi ini.

“Orang mungkin tak kenal saya kerana tidak banyak produk seni yang dikeluarkan. Saya hanya menghasilkan dua album iaitu berjudul Hady Mirza selepas menang Singapore Idol.

“Alhamdulillah album ini menerima anugerah platinum selepas empat hari dipasarkan. Pada 16 Disember 2007, saya menang pula program realiti nyanyian Asian Idol menewaskan lima peserta lain dari Malaysia, India, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

“Pada 2010 barulah saya tampil dengan album kedua. Ia tidak dipasarkan di Malaysia membuatkan peminat di sini tak kenal saya,” katanya mengakui terikat dengan kontrak turut menghalangnya ke sini.

Meniti populariti menerusi lagu Angkasa, Berserah dan Ku Tetap Kan Menunggu, penyanyi pop, R&B dan soul ini mengakui proses menghasilkan album kedua bukan mudah.

Paling mencabar, beberapa hal kurang enak yang berlaku terhadapnya, membuatkan cucu kepada pelakon veteran, Allahyarham Osman Zailani mengambil tindakan drastik berhenti menyanyi buat seketika pada penghujung 2012.

“Sampai satu masa, saya dapati karier saya tak dapat bergerak sehingga ambil keputusan ini. Orang panggil menyanyi pun saya enggan.

“Pelbagai andaian orang buat antaranya saya merajuk tapi saya tak kata apa-apa. Kalau semua benda rasa dah tak okey dan buat persembahan pun tak sepenuh hati, ada baiknya saya berhenti,” katanya.

Kepada ibunya, Hady meluahkan perasaan dan ia mendapat sokongan penuhnya.

“Apabila tiada hati, bila kita buat persembahan orang akan nampak dan keadaan mungkin jadi lebih teruk. Saya cakap dengan emak bagaimana rezeki saya apabila berhenti daripada bidang seni. Kemudian saya buat keputusan berumah tangga dan selepas itu dapat pergi umrah serta jalankan perniagaan sedikit-sedikit bersama keluarga.

“Tiada perubahan drastik sangat tapi perlahan-lahan saya ubah diri. Saya dulu tak pandai baca al-Quran dan saya belajar dengan ustaz,” katanya.

HADY ketika membuat persembahan.
HADY ketika membuat persembahan.

Hady mengakui sokongan ibu membuatkan dia berupaya membuat semua ini.

“Sebelum itu saya rasa diri ini serba kekurangan. Saya akhirnya banyak dengar ceramah antaranya kisah 25 Rasul. Akhirnya jadi seronok pula dan rajin dengar ceramah ustaz di YouTube.

“Ketika usia muda saya tak ingin buat ini semua. Alhamdulillah secara automatik hati terdetik sampai bila nak begini. Umur pun dah nak mencecah 40-an dan sebelum terlanjur lebih jauh, ada baiknya saya cepat tarik ‘hand brake’,” katanya yang gembira apabila dapat belajar baca al-Quran dan menganggap itu pencapaiannya yang terbaik.

Ketika menyertai karnival jualan sebelum ini, Hady diminta mengalunkan azan dan dia melakukannya dengan seikhlas hati.

“Bagi saya itu okey. Cuma kalau diminta menyanyi nanti dululah. Alhamdulillah...mereka selalu galakkan saya buat kerja yang baik. Memang ketika itu ada yang tanya kenapa saya tak menyanyi semula tapi saya cakap belum masanya,” katanya.

Syukur dapat sertai Gegar Vaganza

“Bagi saya, terpilih menyertai Gegar Vaganza satu rezeki yang sangat besar. Saya pernah menonton program ini dan amat gembira apabila terpilih. Sebenarnya, ketika dihubungi untuk uji bakat rasa seakan-akan tak percaya. Apabila diberitahu saya layak, saya rasa sangat bersyukur. Tak sangka saya dapat masuk GV.

“Saya hanya menyanyi semula sejak Ogos tahun lalu kerana mengenangkan ia juga sumber pendapatan. Syukur ‘comeback’ ini dapat sokongan daripada syarikat korporat yang menawarkan peluang,” katanya.

Impak yang diterima hasil pembabitan dalam GV nampak ketara apabila jumlah pengikut Instagram bertambah daripada 6,000 kepada 9,000 dalam tempoh dua minggu.

“Bagi saya ia permulaan yang positif. Ketika bertanding dalam GV, saya fokus hanya untuk minggu itu dan tak memikirkan apa yang akan berlaku pada minggu seterusnya.

“Saya juga bersyukur kerana mendapat sokongan isteri, Nur Jannah yang sering menemani saya sepanjang program ini berlangsung,” katanya yang akan menimbangkan sekiranya menerima tawaran berlakon selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 5:25 AM