MAHU mencari pengalaman baru apabila menyertai Gegar Vaganza 8.
MAHU mencari pengalaman baru apabila menyertai Gegar Vaganza 8.
Ridzuan Abdul Rahman


Pentas pertandingan nyanyian realiti popular Gegar Vaganza (GV) bukanlah asing buat penyanyi dari Indonesia, Upiak Isil.

Upiak atau nama sebenarnya Silvia Nanda pernah ditampilkan sebagai artis undangan GV 2018 apabila lagunya Tak Tun Tuang (Aku Belum Mandi) menjadi tular di Malaysia ketika itu.

Namun, kali ini Upiak, 36, kembali ke pentas 'persaingan' yang amat ditunggu-tunggu oleh peminat industri hiburan tanah air setiap tahun.

Bezanya, dia hadir sebagai peserta dan pada Ahad lalu Upiak berentap dalam konsert pertama program realiti yang dinilai oleh tiga juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

Biarpun menunjukkan persembahan konsisten yang menghiburkan peminat,

Upiak mengakui kurang berpuas hati dengan nyanyiannya.

"Saya tak puas hati dengan persembahan sendiri sebab saya lupa apa yang diajar. Saya mesti kawal jeritan agar tidak menjadi bingit.

"Saya amat gemuruh kerana ini kali pertama sertai pertandingan membuatkan saya hilang tumpuan pada nyanyian," katanya lagi.

Upiak dari Bukit Tinggi, Indonesia pernah diperlekehkan oleh segelintir pihak yang menyelarnya sebagai penyanyi lagu orang gila dan tidak beretika.

Bagaimanapun hakikat sebenarnya, dia penyanyi lagu-lagu serius dan mengalunkan karya-karya cinta dalam Bahasa Minang yang amat menyentuh perasaan menerusi saluran YouTube miliknya.

Upiak yang pernah menghasilkan 19 album sepanjang kariernya sejak berusia 13 tahun berkata, dia gembira dapat terbabit dalam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) ini.

"Saya amat sukakan Malaysia dan seronok datang ke sini. Peminat pun sambut kehadiran saya dengan baik. Saya masuk GV8 pun kerana niat nak cari pengalaman.

"Saya boleh menyanyi semua jenis lagu kecuali dalam bahasa Inggeris," katanya tidak berselindung.

Upiak juga mengakui penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dari tahun lalu hingga kini turut memberi kesan terhadapnya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mempunyai kerja tetap apabila dapat menghasilkan tiga lagu sebulan untuk syarikat rakaman MVM Music Malaysia yang turut menaung kerjaya seninya di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:45 AM