ASMIDAR
ASMIDAR
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Asmidar mengakui dirinya antara individu yang disebut-sebut sebagai calon peserta program realiti Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) tahun ini.

Asmidar ketika ditemui bagaimanapun mengesahkan dia tidak tersenarai sebagai antara peserta program itu pada musim ini.

"Sebenarnya sudah ada beberapa orang yang bertanya adakah saya sertai GV tahun ini, tapi jawapannya saya tak masuk pun, mungkin tahun akan datang. Siapa tahu.

"Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada peserta GV yang akan berjuang nanti," katanya.

Menurut Asmidar, dia tidak akan menolak seandainya diberikan peluang untuk bertanding pada program itu satu hari nanti.

"Saya tak boleh nafikan yang platfrom GV memberi ruang baharu yang lebih luas kepada artis untuk buat kemunculan semula.

"Selain itu jenama GV juga sudah kuat dan diminati ramai. Kalau ada rezeki apa salahnya saya cuba dan membuktikan kemampuan diri," katanya.

Hari ini 14 penyanyi yang terdiri dari Malaysia, Singapura dan Indonesia bakal diumumkan dalam satu sidang media di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 2:07 PM