Shukri Yahaya (kiri).
Shukri Yahaya (kiri).
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Shukri Yahaya tidak pernah berasa 'terbeban' atau susah ketika berlakon dengan pelakon baharu dalam mana-mana projek drama.

Shukri, 34, atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Yahaya berkata, dia mengambil pendekatan membantu dengan mengajar pelakon itu bagi membolehkan hasil karya itu lebih bagus.

"Saya tidak pernah ada rasa mahu bersaing dalam drama. Saya selalu fikir dan anggap semua yang terbabit dalam projek itu penting dan bukan membabitkan hero dan heroin saja.

"Contohnya dalam drama Shakira yang sekarang ditayangkan di TV3, saya puji Khai Bahar yang mana dia terbuka untuk belajar selain mudah nak terima pendapat orang. Apa yang kita tegur, dia akan cuba perbaiki. Alhamdulillah, ia menjadi dan membantu dirinya juga.

"Saya tak mengajar, cuma saya selalu pesan dalam setiap babak ada hero, jadi semua kena 'all out'. Kalau saya berasakan ada yang kurang untuk babak kami, saya akan cakap mungkin boleh tambah sikit dan dia buat. Kalau dia ego dan melawan, mungkin saya biarkan saja. Lantaklah kan. Sebab itu gunanya ada pengarah dan pelakon yang berpengalaman boleh membantu," katanya kepada Harian Metro.

Shukri ditemui pada sesi drama Shakira bersama media yang diadakan secara virtual, hari ini.

Menurut Shukri, dia juga belum pernah berdepan dengan pelakon yang ego atau tidak mahu ditegur ketika di lokasi.

"Kadang-kadang dari pembawaan seseorang itu kita sudah boleh 'vibes' apa. Kalau dia jenis diam, maksudnya kita sudah tahu apa. Jadi memang tak boleh nak cakap apalah. Kita boleh rasa perkara ini. Tapi kalau setiap kali habis satu satu babak dia bertanya, maksudnya dia jenis yang mahu belajar. Cuma setakat ini saya tak jumpa lagi pelakon baharu yang ego di lokasi," katanya.

Shakira mula mengisi slot Akasia bermula semalam, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.

Drama bersiri 28 episod ini adalah terbitan Wiranusa Corporation Sdn Bhd diarahkan oleh Idora Abdul Rahman, manakala skrip tulisan Zarihah Hassan dan Zuraida Ramli.

Selain Shukri dan Khai Bahar, ia turut dibintangi Janna Nick, Syerinie Myra, Nada Nursyuhada, Wan Raja, Ramona Zamzam, Marisa Yasmin, dan Edika Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 2:01 PM