Khai Bahar (kiri) bersama Shukri Yahaya dan Janna Nick dalam drama Shakira.
Khai Bahar (kiri) bersama Shukri Yahaya dan Janna Nick dalam drama Shakira.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon popular Khai Bahar gementar sehingga tidak lena tidur setiap kali ada babak bergaduh dengan pelakon, Shukri Yahaya ketika menjayakan drama Shakira.

Khai, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia bimbang jika babak itu salah selain perlu memastikan dialog yang dilontarkan tegas.

"Untuk babak marah dan gaduh memang kelemahan saya. Secara peribadi pun saya tak pandai marah orang. Kalau di rumah baca skrip dan tahu esok ada babak gaduh dengan Shukri saya gementar dan risau. Sampai tak boleh tidur.

"Bukan apa, saya takut salah. Lontaran dialog pula kena tegas. Dalam drama ini, saya sebagai adik ipar Shukri. Tengok pula muka Shukri bertambah gementar.

"Dia bagus, setiap kali nampak saya begitu dia akan bagi relaks dan 'tone down'. Dia banyak kongsi ilmu. Dia tidak pernah cuba makan atau bunuh lakonan saya. Dia selagi boleh nak jaga setiap babak membabitkan orang lain. Dia nak drama ini hasilnya bagus," katanya kepada Harian Metro.

Khai ditemui pada sesi drama Shakira bersama media yang diadakan secara virtual, hari ini.

Menurut Khai, cabaran buat dirinya dalam drama Shakira apabila perlu melakonkan watak duda muda dan mempunyai anak.

"Saya berkahwin pun belum, inikan pula kena bawa watak seorang duda dan mempunyai anak. Memang tidak ada pengalaman menjadi suami atau dalam perkahwinan.

"Di lokasi, Shukri banyak bantu saya. Dalam masa sama, saya banyak juga menonton cerita luar yang sama wataknya. Saya lebih pada nak melihat bagaimana cara dan pembawaan itu," katanya.

Dalam masa sama, Khai berkongsi dia mengikuti kelas lakonan Zul Huzaimy sebelum terbabit dalam mana-mana projek drama.

"Saya mengaku kekurangan saya dalam bidang lakonan. Jadi, setiap kali dapat tawaran berlakon, saya akan buat sehabis baik. Saya perbaiki setiap kelemahan yang ada dengan mengikuti kelas lakonan abang Zul Huzaimy. Dia ajar banyak teknik lakonan," katanya.

Drama Shakira mula mengisi slot Akasia bermula semalam, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.

Drama bersiri 28 episod ini adalah terbitan Wiranusa Corporation Sdn Bhd, diarahkan oleh Idora Abdul Rahman, manakala skrip oleh Zarihah Hassan dan Zuraida Ramli.

Selain Khai dan Shukri, drama ini turut dibintangi Janna Nick, Syerinie Myra, Nada Nursyuhada, Wan Raja, Ramona Zamzam, Marisa Yasmin dan Edika Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 3:19 PM