KHAI Bahar mengaku makin suka berlakon walau terima kritikan di awal pembabitan.
KHAI Bahar mengaku makin suka berlakon walau terima kritikan di awal pembabitan.
Sudirman Mohd Tahir


PADA awal kemunculannya dalam bidang lakonan, penyanyi popular Khai Bahar mendapat banyak kritikan.

Namun, dia mengambil segala maklum balas diberikan untuk memajukan diri sekaligus memperbaiki kelemahan yang ada.

Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia tidak pernah menganggap pembabitannya dalam bidang lakonan hanya sekadar suka-suka atau mahu mengecap populariti semata.

Malah, Khai yang kini terbabit dalam penggambaran drama Shakira yang bakal ditayangkan di Slot Akasia, TV3 mengakui semakin sukakan dunia lakonan selain akan terus belajar.

"Saya memang suka berlakon tapi banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki. Ini pun saya masih lagi belajar. Nak berlakon memang kena berikan sepenuh komitmen. Saya kena buat 'homework' dan baca skrip untuk fahamkan jalan cerita dan nak hidupan watak.

'Sejujurnya, saya semakin suka dan minat berlakon. Cuma, nak serius dalam bidang ini kena ambil masa lama. Sebab itu, setiap kali masuk lokasi drama ia adalah proses pembelajaran buat saya. Saya banyak belajar dan tengok macam mana pelakon lama berlakon di lokasi. Saya pun pernah masuk kelas lakonan, sebelum ini dengan pelakon Zulhuzaimy.

"Dalam masa sama, saya banyak menonton drama dan YouTube untuk melihat cara lakonan orang lain sebelum masuk lokasi penggambaran. Sebab saya penyanyi, berlakon pun baru beberapa drama. Saya tidak mahu orang cakap dan anggap saya sekadar nak seronok demi populariti. Bagi saya, kalau nak buat sesuatu perkara, kena buat betul-betul," katanya.

Menurut Khai yang pernah muncul menerusi drama Kisah Cinta Rumi di TV3 berkata, dia juga sanggup berbelanja dari segi pakaian demi menjayakan karakter yang diberikan.

Khai yang popular menerusi lagu Luluh mengakui dia perlu bersedia dari segala segi sebelum memulakan penggambaran bagi mengelakkan sebarang masalah.

"Macam dalam watak drama Shakira ini, terlebih dahulu produksi menerangkan karakter dan 'look' untuk watak saya. Jadi, saya cipta sendiri dan cari pakaian yang sesuai. Jadi apabila masuk lokasi, mereka sendiri akan pilih mana yang kena. Saya hanya sediakan dulu, dan mereka akan tentukan.

"Selain persediaan mental, fizikal, hafal skrip dan sebagainya, perkara asas lain juga seperti penyediaan 'wardrobe' juga perlu diberi keutamaan. Sekurang-kurangnya menjadi pelakon perlu ada usaha dalam memberikan yang terbaik untuk watak itu," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lakonannya dalam drama Shakira, Khai berkata dia teruja dan seronok dapat berlakon di samping Janna Nick dan Shukri Yahaya.

Menurut Khai, dua pelakon hebat itu banyak membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang di lokasi penggambaran.

Baru selesaikan single baharu ciptaan Ajai, bakal  siapkan single bersama Apak.
Baru selesaikan single baharu ciptaan Ajai, bakal siapkan single bersama Apak.

"Ini pertama kali berlakon dengan Janna dan Shukri. Malah, ketika pertama kali masuk set dengan mereka, diakui saya berasa gementar dan dalam masa sama teruja sebab mereka pelakon hebat.

"Sedikit sebanyak saya belajar daripada mereka untuk menjayakan sesuatu babak dengan baik. Mereka banyak beri tunjuk ajar. Kalau ada yang kurang, Shuk akan bantu dan ajar. Begitu juga dengan pengarah. Atas kekurangan yang ada terutama dalam skil lakonan, saya berasa itu patut ditegur, sebab saya baru sangat dalam bidang ini. Terima kasih sebab selalu bagi maklum balas.

"Di lokasi pun, Janna dan Shukri ada juga tegur. Malah, ketika ada babak dengan pelakon lain pun mereka berikan idea macam mana nak hidupkan watak. Jadi bagi saya ini berikan aura positif di lokasi," katanya.

Projek single

Mengenai kerjaya nyanyiannya, Khai yang sebelum ini muncul dengan album Damba Ketenangan dalam proses menghasilkan single terbaharu dengan Apak Harry Khalifah.

"Dari segi kerjaya nyanyian, sekarang ini baru nak mulakan semula apa yang tertunda sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini. Saya baru saja selesai merakamkan single ciptaan Abang Ajai. Ini adalah projek Abang Ajai yang turut membabitkan beberapa penyanyi lain.

"Selain itu, saya bakal merakamkan single ciptaan Apak Harry Khalifah. Saya seronok dengan lagu dia. Jadi, saya nak cuba lagu dan 'vibes' dia macam mana," katanya.

Selain itu, Khai berterima kasih pada kerajaan yang sudah membenarkan aktiviti kesenian dan hiburan dijalankan.

"Sangat berterima kasih apabila aktiviti ini dibenarkan. Jadi, semua pihak kena sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP). Saya berasa semua orang pun tunggu masa ini untuk keluar cari rezeki dan duit. Biarpun dalam keadaan yang perlu patuh SOP, nak tak nak memang kena keluar juga dengan norma baharu ini," katanya.

Ditanya mengenai pencalonan dalam Top 5 bagi dua kategori iaitu Penyanyi Lelaki Popular dan Duo/kolaborasi Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 2021), Khai menyerahkan pada rezeki.

"Tahun ini, peminat saya macam biasa, mereka memang suka mengundi. Mereka teruja dan sentiasa ingatkan untuk saya buat promosi. Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai pencalonan.

"Apa apa pun saya tak 'push' mereka untuk buat setiap hari. Tapi mereka rajin dan nak buat juga. Insya-Allah, kalau ada rezeki, adalah," katanya yang mempunyai kelab peminat Khai Bahar Empire.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:00 AM