KHAI (kiri) bersama Janna dan Shukri sebagai teraju utama drama Shakira.
KHAI (kiri) bersama Janna dan Shukri sebagai teraju utama drama Shakira.
Sudirman Mohd Tahir


LANGKAH penyanyi popular, Khai Bahar, 28, dalam bidang lakonan nampaknya semakin laju.

Terbaharu, dia tampil dalam drama bersiri Shakira yang kini ditayangkan di Slot Akasia, TV3. Turut berlakon dalam drama berkenaan ialah Shukri Yahaya dan Janna Nick.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, cabaran dia melakonkan watak Irdi dalam drama arahan Idora Abdul Rahman itu ialah kerana Irdi seorang duda muda dan memiliki anak.

"Saya berkahwin pun belum, inikan pula kena bawa watak seorang duda dan mempunyai anak. Memang tidak ada pengalaman menjadi suami atau dalam perkahwinan.

"Namun, Shukri banyak bantu saya. Dalam masa sama, saya banyak juga menonton cerita luar yang sama wataknya. Saya lebih pada nak melihat bagaimana cara dan pembawaan itu," katanya.

Khai berkata, dia juga gementar setiap kali ada babak bergaduh dengan Shukri. Ini kerana dia bimbang jika babak itu salah selain perlu memastikan dialog yang dilontarkan tegas.

BABAK membabitkan Khai bersama Janna.
BABAK membabitkan Khai bersama Janna.

"Untuk babak marah dan gaduh memang kelemahan saya. Secara peribadi pun saya tak pandai marah orang. Kalau di rumah baca skrip dan tahu esok ada babak gaduh dengan Shukri saya gementar dan risau.

"Bukan apa, saya takut salah. Lontaran dialog pula kena tegas. Dalam drama ini, watak Irdi ialah adik ipar Shukri. Tengok pula muka Shukri bertambah gementar.

"Dia bagus, setiap kali nampak saya begitu dia akan bagi relaks dan 'tone down'. Dia banyak kongsi ilmu. Dia tidak pernah cuba makan atau bunuh lakonan saya. Dia selagi boleh nak jaga setiap babak membabitkan orang lain. Dia nak drama ini hasilnya bagus," katanya.

Dalam masa sama, Khai berkongsi dia mengikuti kelas lakonan Zul Huzaimy sebelum terbabit dalam mana-mana projek drama.

"Saya mengaku kekurangan saya dalam bidang lakonan. Jadi, setiap kali dapat tawaran berlakon, saya akan buat sehabis baik. Saya perbaiki setiap kelemahan yang ada dengan mengikuti kelas lakonan abang Zul Huzaimy. Dia ajar banyak teknik lakonan," katanya.

Drama Shakira ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari sama selepas siaran di TV3.

Turut berakon Syerinie Myra, Nada Nursyuhada, Wan Raja, Ramona Zamzam, Marisa Yasmin dan Edika Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 6:30 AM