Adele
Adele
 Agensi

Las Vegas: Penyanyi Adele, 33, melarang jutawan judi untuk menghadiri konsertnya di Colosseum Theatre, Caesars Palace, bagi memberi laluan kepada peminat setianya membeli tiket untuk acara itu.

Adele atau nama sebenarnya Adele Laurie Blue Adkins dikhabarkan berjaya melobi pemilik lokasi terbabit agar tidak memberi tiket percuma kepada golongan berjudi yang berbelanja besar di kota judi berkenaan.

"Adele sangat berkeras mengenai hal itu dan mahukan peminatnya dapat menonton persembahannya. Berbanding tiket percuma diberikan kepada kaki judi yang berbelanja besar di sana.

"Sejumlah tiket selalunya diketepikan untuk diberi kepada kaki judi yang berbelanja besar bagi menonton persembahan di lokasi itu. Bagaimanapun, Adele ternyata tidak mahu bertoleransi dengan pendekatan itu," kata satu sumber.

Sejak melancarkan album terbaharunya, 30, baru-baru ini, Adele terus aktif mengadakan persembahan di pelbagai lokasi. Tiketnya juga mendapat permintaan tinggi dan sentiasa habis terjual.

Penyanyi lagu Easy On Me itu bakal beraksi di lokasi ikonik terbabit selama empat bulan pada Januari hingga April tahun hadapan. Terdahulu, penyanyi seperti Elton John, Rod Stewart dan Usher antara yang pernah membuat persembahan di sana.

Meskipun tiket konsertnya itu agak mahal, ia berjaya terjual habis sebaik pembelian dibuka. Pembeli juga harus mengepilkan bukti bahawa mereka sudah lengkap mendapat dua dos vaksin.

Pengaruh Adele sememangnya tidak disangkal cukup besar apabila menyentuh mengenai kemajuan industri muzik. Disebabkan ciapannya di Twitter sebelum ini, platform muzik digital Spotify turut akur dan membuang butang 'shuffle' untuk albumnya.

Menerusi ciapannya itu, dia mahukan lagu yang dimuatkan dalam album 30 didengari mengikut urutan kerana ada sebab dia menyusun setiap lagunya dengan urutan tertentu.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 12:37 PM