Adele
Adele

Agensi

Los Angeles: Kemelut cinta penyanyi Adele, 33, dan kekasihnya Rich Paul, 40, dikatakan menjadi penyebab dia membatalkan persembahan residen di Caesars Palace, Las Vegas pada saat-saat akhir, baru-baru ini.

Adele sepatutnya memulakan persembahannya yang dijadualkan berlangsung sehingga April di lokasi ikonik itu pada minggu lalu, namun dia nyata tidak bersedia melakukannya.

Sumber dalaman mendedahkan penyanyi Easy On Me itu tidak berhenti menangis sewaktu menjalani raptai persembahan itu.

Sesi raptai juga sentiasa terganggu kerana penyanyi itu bergayut di telefon dengan Paul. Malah, Adele didapati terus mengambil penerbangan ke Los Angeles dari Las Vegas untuk berjumpa kekasihnya sebaik pengumuman pembatalan persembahan itu.

Menurut laporan wartawan, tekanan yang dihadapi penyanyi itu berhubung kemelut cintanya membuatkan Adele tiada keyakinan untuk meneruskan aktiviti seninya.

Selain isu hubungan cintanya, Adele juga dikhabarkan tidak berpuas hati dengan reka bentuk set pentasnya.

Disebabkan pembatalan saat-saat akhir itu, slot persembahannya diambil alih penyanyi country, Keith Urban sehingga April nanti dan penukaran jadual persembahan Adele belum diumumkan.

Dalam pada itu, Adele turut dilaporkan menarik diri daripada membuat persembahan pada acara anugerah BRIT yang berlangsung 8 Februari ini.

Tindakan itu dikatakan cukup menyukarkan penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 12:23 PM