Adele buat 'panggilan video' kejutan kepada peminat. 
Adele buat 'panggilan video' kejutan kepada peminat. 
Agensi

Las Vegas: Selepas konsertnya yang sepatut berlangsung pada 21 Januari lalu di Las Vegas terpaksa ditunda, penyanyi antarabangsa, Adele, 33, mengejutkan sekumpulan peminatnya yang kecewa dengan membuat panggilan video.

Salah seorang individu dalam kumpulan peminat itu, James Mason Fox memberitahu portal berita CNN, sesi panggilan video terbabit berlangsung di kedai cenderahati dan hanya beberapa individu saja dibenarkan masuk bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Saya tak tahu apa yang dia katakan dalam panggilan itu kerana kami semua yang berada di situ macam hilang akal. Tapi, Adele kelihatan sedang menangis.

"Antara kata-kata yang sempat saya dengar adalah, 'Apa yang berlaku bukanlah kehendak saya'," katanya.

Dalam sesi panggilan video itu, kelihatan seorang wakil daripada pengurusan penyanyi itu turut memegang telefon dan Adele pula melambai kepada semua peminat yang berada di situ.

Konsert yang sepatutnya berlangsung di The Colosseum, Caesars Palace itu ditunda kepada tarikh baru, 16 April depan.

Walaupun tidak dapat menyaksikan konsert itu, peminat yang sudah membeli tiket konsert Adele menerima satu beg yang mengandungi beberapa barang antaranya kemeja-T, magnet yang menjadi simbol album-albumnya, rantai kunci dan beberapa barang lain.

Terdahulu, Adele dalam satu video meluahkan rasa kecewanya apabila konsert bersiri itu terpaksa dibatalkan akibat kekangan penularan Covid-19.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 4:16 PM