Susunan Michelle Gun


Selepas melancarkan album ketiga November lalu, penyanyi Inggeris terkenal Adele dikhabarkan ingin menceburi bidang perniagaan.

Pelantun lagu Hello itu dikatakan bakal melancarkan koleksi pakaian khusus bagi golongan ibu yang sibuk dengan aktiviti seharian.

Menurut sumber, perancangan itu masih di peringkat awal dan penyanyi berusia 27 tahun itu sudah bertemu dengan beberapa pereka fesyen.

“Adele turut menghasilkan lakaran pakaian sendiri. Kebanyakan koleksinya ialah ‘mix and match’ dan sesuai untuk aktiviti seharian.

“Selain itu, akan ada beberapa koleksi khas seperti poncho, pakaian musim sejuk kegemarannya,” katanya.

Kata sumber itu lagi, penyanyi kelahiran London, England itu mengutamakan keselesaan dan memilih fabrik lembut dan berkualiti tinggi.

Dalam perkembangan lain, peminat tegar Janee Bradford dari Virginia, Amerika Syarikat berharap penyanyi itu dapat memberi tiket konsert percuma kepadanya.

Bradford menghasilkan klip video parodi dengan mengubah lirik Hello yang dimuat naik di laman sosial Facebook dan YouTube.

Video parodi berjudul Hello From The Parking Lot menjadi viral di Internet dalam sekelip mata.

Wanita itu dipercayai berbuat demikian kerana tidak mampu membeli tiket konsert Adele yang dikatakan mencecah sehingga lebih AS$1,000.

Adele akan memulakan konsert jelajah di Eropah dan Amerika Syarikat mulai Februari ini.

Sementara itu, video muzik Hello arahan Xavier Dolan mencipta rekod kerana mencecah lebih satu bilion tontonan di Vevo, YouTube dalam tempoh singkat.

Muzik video itu dimuat naik pada Oktober lalu dan meraih jumlah tontonan paling tinggi dalam tempoh sehari di Vevo selain lagu kedua mencapai tontonan 100 juta di YouTube.

Pencapaian itu sekali gus ‘menewaskan’ rekod yang dipegang Taylor Swift sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:17 AM