AR Badul
AR Badul
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Bagus FFM31 (Festival Filem Malaysia ke-31) sebab bagi duit pada pemenang," kata pengarah, pelakon dan pelawak AR Badul.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie berkata, dia pernah membawa pulang RM15,000 pada FFM8 bagi dua kategori dimenangi iaitu Pengarah Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Oh Fatimah.

"Pada zaman saya masih ada wang kemenangan. Kategori Pengarah Terbaik saya dapat RM10,000 dan Pelakon Lelaki Terbaik dapat RM5,000. Selepas itu tak ada selama beberapa tahun.

"Apabila kali ini ada duit tu ia satu kelainan. Walaupun sikit pun tetap duit. Bagi saya, duit kemenangan itu sedikit sebanyak memberikan semangat pada pengkarya. Apatah lagi sekarang ini orang cakap zaman susah. Dapatlah tambah pendapatan," katanya kepada Harian Metro.

Badul berkata, dia berharap pemberian wang sebagai hadiah kemenangan perlu diteruskan.

"Harap teruskan dan tambah lagi pada masa akan datang. Zaman pun sudah berubah, jadi jumlah pun bolehlah tambah. Lagi orang bertambah semangat. Macam penganjuran sebelum ini tak tahu sebab apa tak ada," katanya.

Dalam FFM31, setiap pemenang memperoleh RM5,000 selain trofi, manakala pemenang kategori Filem Terbaik bakal menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 10:40 PM