AR Badul pada Taklimat Pensijilan untuk Pengarah dan Penggiat Seni dari Kolej Teknologi MEA di Jalan Reko, Kajang. FOTO Azhar Ramli
AR Badul pada Taklimat Pensijilan untuk Pengarah dan Penggiat Seni dari Kolej Teknologi MEA di Jalan Reko, Kajang. FOTO Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON, pengarah dan pelawak veteran, AR Badul, 70, tidak pernah menyimpan impian untuk dikurniakan pangkat Datuk.

Badul yang pernah membintangi filem bercorak ketenteraan seperti Darah Satria dan Prebet Lapok pada tahun 1980-an berkata, dia tidak layak membawa pangkat itu.

"Saya tak pernah berangan nak dapat Datuk. Berilah kepada veteran tentera yang benar-benar layak serta anggota bomba dan polis yang menjaga keselamatan negara. Ini baru dikatakan tugas untuk negara. Pelakon dan penyanyi adalah penghibur saja. Kita hiburkan orang dapat bayaran, bukan percuma," katanya.

Badul berkata, dia ada mendengar orang mempertikaikan kenapa dia tidak diberikan Datuk kerana sudah banyak berjasa kepada industri perfileman tempatan.

"Selagi saya naik kereta Proton Saga atau menunggang motosikal ke pasar membeli ikan, janganlah bagi Datuk kepada saya.

"Saya ada ramai kawan bergelar Datuk dan mereka layak bawa pangkat itu kerana ada perniagaan bernilai jutaan Ringgit. Kehidupan mereka amat berbeza dibandingkan dengan saya," katanya.

Pelakon bernama sebenar Armaya Aman Ramlie ini berkata, dia tidak sepatutnya ditanya mengenai perkara itu, tetapi sebaliknya meminta masyarakat menilai bagaimana artis lain boleh dianugerahkan pangkat itu.

"Tak layak yang saya maksudkan ialah dalam pelbagai faktor. Mungkin, saya tiada hubungan dengan pihak yang bertanggungjawab beri pangkat itu. Mungkin juga saya bukan di depan mata mereka atau bukan rakan mereka.

"Kalau nak diikutkan, ramai pelakon kita berlakon filem genre patriotik, tapi mereka yang tak berkaitan pula tiba-tiba dapat pangkat itu," katanya.

Menurut Badul, dia tidak cemburu tetapi berharap ia diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Dalam masa sama, Badul turut mempersoalkan adakah penggiat seni yang bergelar Datuk sanggup melaksanakan aktiviti khidmat sosial secara percuma.

"Kalau kerajaan panggil mereka untuk program amal, adakah mereka tak kenakan bayaran? Atau kerajaan minta mereka menjayakan sesuatu kempen secara percuma, nak tak mereka pergi?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 1:47 PM