AR Badul nafi nikah artis muda.
AR Badul nafi nikah artis muda.
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Pelakon, pengarah dan pelawak veteran, AR Badul menafikan khabar angin dirinya sudah bernikah dengan pelakon Annie Arifin, 35, seperti yang heboh diperkatakan di media sosial ketika ini.

Menurut Badul atau nama sebenar, Armaya Aman Ramlie, 73, semua dakwaan yang membabitkan dirinya dengan Annie, pelakon utama filem arahannya Vik2toria Secret itu adalah tidak benar sama sekali.

"Dari mana khabar angin itu datang? Sebelum ini, ada juga dakwaan yang mengatakan Annie adalah anak saya?

"Mungkin, Annie juga boleh cari lelaki yang lebih baik daripada saya.

"Dunia sekarang memang macam ini.(wujud fitnah).

"Bila ada peluang untuk menjelaskan kepada pihak media, saya akan menjawab khabar angin seperti itu. 

"Kalau tiada peluang, cerita seperti itu akan berlarutan seperti itu," katanya kepada Harian Metro.

 Badul ditemui pada malam gala tayangan filem sentuhan terbaharunya berjudul Vik2toria Secret yang berlangsung di pawagam TGV KLCC malam tadi

Ditanya dirinya yang sering dikaitkan dengan wanita muda pula, kata Badul yang pernah enam kali berkahwin,

pada usia emasnya sekarang dia sedar dengan keadaan dirinya sendiri.

"Zaman muda dulu, saya kacak dan orang memang sering kaitkan dengan ramai wanita.

"Kalau sekarang pun masih ada, saya anggap, alah bisa tegal biasa.

"Kini, saya sudah 73 tahun takkan lah tidak sedar diri lagi. Bukan kata saya baik," katanya.

Kata Badul lagi, ada pula dakwaan yang mengatakan dirinya menggunakan ilmu untuk memikat wanita di luar sana.

"Ada pula yang kata saya gunakan ilmu? Rahsianya ialah kita baik hati dengan orang. Nak cuba berkawan dengan mana-mana wanita boleh, kalau dia tidak layan, janganlah susahkan diri," katanya.

Bagaimanapun, kata Badul, dia tidak kesal bila namanya sering dikaitkan dengan khabar angin atau gosip yang tidak berasas. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 11:56 AM