Nam Ron
Nam Ron
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Saya cemburu sebab masa saya menang tidak ada wang tunai," kata pelakon Nam Ron mengulas inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) apabila penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) memberikan wang tunai sebagai hadiah kepada setiap pemenang.

Nam Ron berkata, perkara itu wajar diteruskan pada penganjuran akan datang selain mencadangkan menambah nilai wang kemenangan itu.

"Bagus apabila diperkenalkan semula hadiah wang tunai ini. Kita tahu bahawa dengan keadaan sekarang tidak banyak bantuan yang diperoleh membabitkan anak seni. Jadi, dengan dapatnya wang tunai ini ia satu lagi bentuk bantuan yang boleh digunakan. Bagi saya wang kemenangan ini harus ada macam FFM dulu-dulu. Malah, kalau dulu dapat banyak lagi. Seingat saya kali terakhir dapat masa Pekin Ibrahim menang, tapi tak ingat berapa.

"Bagi yang pernah pernah dapat itu rezeki mereka. Tapi masa akan datang teruskan dan gandakan nilai lagi baik. Cari lagi seberapa banyak penaja," katanya kepada Harian Metro.

Pada FFM31, Nam Ron tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Roh.

Bagaimanapun Nam Ron tewas kepada Zul Ariffin daripada filem Sangkar.

"Saya tidak menjangka apa-apa pun. Bagus juga orang lain menang sebab saya pun sudah pernah menang pada FFM29.

"Jadi, okay saja kalau orang lain pula menang. Saya tengok Zul banyak peningkatan dari dulu lagi. Sekarang pun tengok kemajuan dia dalam lakonan lebih baik dan matang," katanya.

Pada FFM29, Nam Ron menang kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Redha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 11:14 AM