2PAI sebuah karya yang cukup memuaskan Asyraf.
2PAI sebuah karya yang cukup memuaskan Asyraf.
Georgie Joseph

MAKIN menempa nama dalam arena muzik tempatan, penyanyi rap Asyraf Nasir jelas begitu serius dengan mutu karya dihasilkannys. Terbaharu, dia kini tampil dengan lagu 2pai dan visi itu makin terserlah.

Asyraf berkata, lebih penting sekarang untuk dititikberatkan adalah penulisan liriknya. Ini kerana, dia sendiri meraih kepuasan tidak terhingga apabila dapat menghasilkan lagu yang mesejnya cukup menyentuh.

Akuinya, dia nyata mendapat kepuasan itu menerusi lagu baharunya, 2pai yang berbeza dengan karya sebelum ini. Banyak perincian lagu itu yang membuatkan Asyraf yakin bahawa ia antara karya terbaik dihasilkan setakat ini.

"2pai adalah hasil karya saya yang paling memuaskan di mana 'mood' agak tepat menggambarkan Asyraf Nasir. Sebelum ini, lirik saya akan bercakap mengenai perkara yang gembira dan orang takkan faham.

"Kali ini, daripada segi muzik, karakter dan mesej liriknya berbeza. Apalagi lirik bagi saya sangat penting kerana kalau mesejnya tiada isi, ada orang suka, tapi saya mahukan ia diambil serius oleh pendengar," katanya.

Justeru, Asyraf tidak sekadar memfokuskan lagu itu sebagai hiburan kepada pendengar semata-mata. Dia mengidamkan kemahiran penulisannya membuka mata serta menyentuh hati ramai.

"Saya mahu pendengar lihat saya sebagai penulis lirik yang baik. Selain sekadar penyanyi rap dan baharu berjinak-jinak tulis lagu untuk artis lain, saya harap dalam 10 tahun akan datang, saya jadi penulis lirik terbaik," katanya.

Penyanyi yang bakatnya dicungkil daripada pertandingan RapStar ERA pada tahun lalu itu berkata, dia juga sangat gembira apabila single 2pai itu dihasilkannya bersama rakan komposer muda lain.

BERHARAP pendengar dapat hayati mesej mendalam lirik lagunya.
BERHARAP pendengar dapat hayati mesej mendalam lirik lagunya.

"2Pai adalah hasil karya saya bersama komposer, Wolfy. Wolfy sangat baharu dan saya kenal dia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dulu, tapi dia sudah pernah terbitkan lagu untuk K-Clique dan bekerjasama dengan SonaOne," katanya lagi.

Selain itu, Asyraf juga sebenarnya dalam usaha mengubah persepsi peminat muzik tempatan mengenai dunia hip hop. Dia percaya, penyanyi rap masing-masing ada corak perjuangan sendiri.

Ada yang tampil dengan mesej mengenai pergelutan hidup atau hal sosial serius yang lain. Bagaimanapun, baginya dia perlu tunjukkan bahawa dalam pada serius, kena ada elemen keseronokan juga.

"Saya tengah mencari titik tengah di mana saya boleh cerita perkara serius, tetapi kanak-kanak pun boleh mendengarnya bila-bila masa. Contoh macam lagu Keliru, sebelum ini iramanya sangat seronok, tapi mesejnya mendalam dan 2Pai pun sama juga," katanya.

Dalam pada itu, Asyraf turut berkongsi cabaran dilaluinya ketika merakamkan lagu 2pai.

Menurutnya, dia terpaksa merakamkan bahagian vokal di rumah akibat kekangan PKP.

"Saya sebenarnya berniat nak rakam dalam studio. Tetapi, selepas membuat rakaman beberapa kali di rumah sendiri, saya rasa hasilnya lebih baik berbanding merakamnya sendiri sebelum ini.

"Jadi, semua vokal yang anda dengar ini adalah rakaman suara yang pertama saya lakukan di rumah," jelasnya.

Tidak ketinggalan, muzik video single 2pai sudah dilancarkan dan mendapat sentuhan daripada pengarah, Thaqif Saadon. Turut ditampilkan adalah rakan seperjuangannya iaitu YonnyBoii yang diundang menjayakan watak dalam video terbabit.

"Biarpun muzik video 2pai dirakam dalam masa satu hari, tetapi persiapan penuh mengambil masa sebulan sebelum kami akhirnya dapat berada di lokasi bersama kru yang terbabit di set penggambaran. Apapun, semua orang akan lihat karakter saya yang berbeza daripada yang biasa sebab konsepnya seperti filem aksi," jelasnya lagi.

Single 2pai kini sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 26 November lalu. Muzik videonya pula dilancarkan di saluran Youtube ASYRAF NASIR VEVO pada tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:15 AM