BENZOOLOO (dari kiri), Dan.El dan Areen main peranan dalam nyanyian masing-masing.
BENZOOLOO (dari kiri), Dan.El dan Areen main peranan dalam nyanyian masing-masing.
Georgie Joseph


PRINSIP hidup diketengahkan penyanyi rap khasnya tidak disangkal sarat dengan nilai yang mendalam. Lirik lagu dihasilkan mereka bukan sekadar cakap kosong, tapi sebenarnya banyak mesej tersirat yang tercetus dari kerahan buah fikiran.

Demikian juga dalam lagu baharu pertaruhan Benzooloo, 29, Areen, 24, dan Dan.El, 27, yang berjudul Solid. Daripada judulnya saja pun sudah memberi gambaran penuh mesej keseluruhan karya sentuhan gabungan mereka bertiga ini.

Mereka pastinya mempunyai corak interpretasi masing-masing terhadap lagu ini tidak kira daripada gaya rap sehingga mesejnya.

Hal itu diakui Benzooloo yang menyifatkan Solid tentunya boleh dihayati ramai dan dikaitkan dengan kisah hidup individu berbeza.

"Lagu ini menceritakan mengenai bagaimana menjadi seorang yang tegas atau padu dalam segala aspek hidup. Dalam hip hop pula, 'solid' mempunyai banyak maksud contohnya 'solid' dari cara bercakap, gaya atau prinsip," katanya.

Bagi Dan.El pula, dia mengambil perspektif bagaimana seseorang perlu menjadi tegas dalam setiap langkahnya demi mencapai sesuatu kepuasan. Ini kerana pada pengakhirannya sikap itu yang mampu beri ganjaran terbaik untuk mereka.

"Solid berkisar usaha dan hasil kerja yang kena persembahkan dalam keadaan terbaik. Perkataan Solid bukan sahaja digunakan untuk pembikinan lagu, tetapi rutin harian lain seperti kerja, usaha dan keperibadian.

"Saya percaya jika kalau kita kerah hidup dengan usaha yang 'solid', ganjaran pun akan 'solid'. Untuk itu, kita kena benar-benar dedikasikan komitmen diri untuk mengejar ganjaran ataupun apa juga yang diingini demi kepuasan diri," katanya.

Tambah Benzooloo, penghasilan lagu ini menjadi lebih mudah apabila ketiga-tiga mereka faham dan tahu bahagian masing-masing. Lebih mengukuhkan dinamik lagu itu tidak lain corak nyanyian rap mereka yang pelbagai dan tersendiri.

"Awalnya, cabaran cuma untuk fikir apa konsep lagu dan bagaimana lirik korus ditulis supaya lebih kemas dan 'catchy'. Tapi, lepas kami sudah dapat penyelesaian untuk semua itu, yang selebihnya jadi lebih mudah.

"Saya sebenarnya dalam perancangan untuk berkolaborasi dengan beberapa penyanyi rap Sabah sebelum hubungi Areen dan Dan.El. Saya bagi mereka cuba rakaman awal (demo) dan sebaik mereka hantar semula demo disiapkan, saya terus suka.

"Untuk bab corak rap masing-masing, itu semua semula jadi dari setiap penyanyi rap. Daripada identiti mereka saya dapat susun kedudukan mana rangkap spesifik yang sesuai untuk setiap penyanyi. Susunan itu juga mencetus dinamik lebih hebat untuk Solid," katanya.

Dan.El pula percaya kesepakatan yang terbina dalam kerjasama mereka adalah faktor terpenting Solid jadi lebih bermakna. Apalagi, gabungan mereka bertiga sebenarnya berlaku secara rawak.

"Kami banyak bertukar pendapat dan idea dari segi penulisan dan cara pembawaan yang sesuai untuk lagu ini. Tapi, pada masa sama kami tidak mendesak satu sama lain untuk ikut cara tertentu sebaliknya kekalkan saja corak serta identiti nyanyian rap masing-masing.

"Ini kerana saya percaya dalam menjadi penghibur yang berjaya, ada dua perkara ini paling penting untuk dipegang. Gabungan kami dalam lagu ini sebenarnya berlaku secara rawak dan yakin keputusan untuk kami bertiga nyanyikannya adalah sangat tepat," katanya.

Areen pula menaruh harapan supaya karya segar yang menyerlahkan sisi baharu mereka ini bakal melangkau hingga pasaran antarabangsa. Baginya, mereka sudah memberikan versi terbaik dalam memastikan Solid mampu memikat pendengar pelbagai latar belakang.

"Sasaran kami adalah lagu ini mampu tembus luar negara. Saya rasa tidak mustahil walaupun ada kekangan bahasa kerana muzik sendiri adalah sebuah bahasa yang kita semua faham. Harap ia akan pergi sejauh mana yang boleh serta buka rezeki luas dari pelbagai sudut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 6:35 AM