FHAN muncul dengan single dwibahasa, Walk Away.
FHAN muncul dengan single dwibahasa, Walk Away.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI rap baharu, Farhan Alias atau nama pentasnya Fhan percaya setiap penyanyi mempunyai potensi bakat tersendiri.

Menurutnya, pemain industri hendaklah memberikan sepenuh kepercayaan dan peluang untuk penyanyi baharu mengasah bakat mereka.

"Secara peribadinya untuk saya bekerjasama dengan komposer ataupun penulis lirik terkenal, apa yang penting adalah mereka percaya pada potensi seseorang penyanyi berkenaan.

Bukan memandang rendah terhadap pengalaman kita. Saya sangat sensitif dalam perkara ini.

"Kalau mereka rasa saya tiada potensi, mungkin lupakan saja niat untuk bekerjasama. Saya percaya setiap manusia ada potensi masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai strategi pemasaran yang menyasarkan karya yang dihasilkan menembusi pasaran antarabangsa, Fhan berkata, dia mengeluarkan lagu dwibahasa berjudul Walk Away dan Nitro sebagai langkah untuk menarik pendengar di luar negara.

"Proses awal untuk bekerjasama dengan penyanyi luar negara adalah saya mahu fokus dengan menjadikan lagu sedia ada ini 'trending' terlebih dahulu. Apabila sudah ada peminat dan pendengar dari negara serantau, saya percaya penyanyi di sana pasti menyedari kewujudan saya.

"Disebabkan itu saya melancarkan dua single terbaharu dalam dwibahasa iaitu Inggeris dan Melayu supaya dapat capai sasaran dan diterima peminat dari luar negara seperti di Indonesia, Singapura dan Filipina," katanya.

SASAR karya yang dihasilkan tembusi pasaran antarabangsa.
SASAR karya yang dihasilkan tembusi pasaran antarabangsa.

Lagu Walk Away adalah hasil ciptaan komposer Mingaling, Madebyartin, Imgkay dan penulis lirik oleh Amir Hasan.

Menyentuh mengenai populariti sebagai penyanyi rap, Fhan lebih ambil peduli penyampaian mesej lagu.

"Bagi saya populariti itu tidak menjadi masalah sebab yang penting dapat sampaikan mesej lagu itu kepada pendengar. Dua single terbaharu berkenaan mengisahkan perjalanan dan liku-liku seseorang dalam industri ataupun bisnes yang saya ceburi.

"Selain itu, saya selitkan pelbagai cabaran dan ragam manusia yang pernah saya jumpa. Konklusinya biar kita sendiri berjuang untuk sampai ke puncak," katanya.

Menyedari pasaran muzik tempatan pendengarnya lebih gemarkan lagu patah hati, Fhan akan mempertimbangkan untuk menerokai genre itu.

"Ya saya sangat berminat sebab saya rasa itu adalah genre yang senang untuk pendengar ikuti atau layan. Sejujurnya lagu saya pun ada patah hati iaitu Walk Away," katanya tertawa kecil.

Sebagai informasi Fhan mula aktif dalam dunia muzik sejak tahun lalu dengan kemunculan dua single berjudul Terbang Tinggi dan Bertahan serta Terang dalam pertengahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 6:35 AM