Sudirman Mohd Tahir


NAMA Sophia Liana bukan lagi asing di persada seni hiburan tanah air. Penyanyi rap wanita yang mesra disapa Sophia ini mula bertapak dalam industri muzik tempatan sejak 2015 menerusi penampilannya bersama kumpulan, De Fam.

Ingin mencabar diri, Sophia cuba bergerak solo dan pernah berkolaborasi dengan beberapa artis tempatan sejak 2018.

Selepas menjuarai program Dansa Dan Sing (DDS) terbitan Astro pada Januari lalu, Sophia berjaya membina jenamanya sendiri. Usai mempamerkan bakat nyanyian dan tariannya dalam program itu, Sophia muncul pula dengan lagu solo berjudul Ngam yang dilancarkan pada Mac lalu.

Lagu itu dihasilkan untuk projek khas platform penstriman muzik Joox. Video muzik (MV) rasmi yang turut menampilkan kru tariannya dalam DDS iaitu Budak Ngam, berjaya mencapai hampir 600,000 tontonan sejak dimuat naik pada Julai lalu.

Tidak hanya berbakat dalam rap, menyanyi dan menari, Sophia juga berkemampuan menulis lagu. Sejak lagu pertama Supergirls bersama De Fam, Sophia sudah mula menulis lirik sendiri.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sophia dilihat mula menggilap bakatnya dalam penciptaan lagu pula. Bersama adik, Fadzril Asyraf, dia pernah menghasilkan beberapa lagu 'freestyle rap' seperti Assalamualaikum (2018) dan Mulut (2018) yang dikongsikan di saluran YouTube miliknya.

Malah Sophia dan adiknya juga pernah menghasilkan lagu #pastiCLEAR sebagai lagu kempen pengiklanan rangkaian produk syampu CLEAR. Terbaharu, lagu Ngam yang dilancar pada Mac lalu adalah hasil kerjasama dengan komposer tersohor lain seperti Faizal Tahir, Mambang dan Navigator.

Bagi mengukuhkan lagi namanya sebagai penyanyi, dia kini muncul dengan lagu terbaharu berjudul Dulu yang dicipta sepenuhnya oleh Sophia dan Fadzril Asyraf.

Lagu dilancar secara rasmi semalam itu dipersembahkan secara sing rap dengan cuba membawa pendengar memahami pengalaman masa lalu dan menerima apa yang terjadi dengan hati terbuka.

"Dalam lagu ini saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah dibuat sebelum ini. Bukan saja penyampaian berbeza, malah ia juga lebih bersifat peribadi dalam menceritakan mengenai perasaan saya dulu dan sekarang.

"Lagu ini diinspirasikan daripada situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu. Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini, adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang," katanya.

Apa-apa pun, jauh dii sudut hati Sophia, dia berharap lagu Dulu itu dapat diterima baik pencinta muzik tempatan.

"Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu sudah pun berlalu. Apa yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari mendatang," jelasnya.

Kini, lagu Dulu terbitan bersama Sophia Liana, Lion Music Group dan Universal Music Malaysia itu sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 6:45 AM