SHAHRULEZAD
SHAHRULEZAD
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin memohon semua yang mengenalinya agar mendoakan supaya Allah meminjamkan sedikit oksigen buatnya setiap kali hendak solat kerana keadaan kesihatannya kurang baik.

Shahrulezad yang kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak kelmarin kerana paras oksigen rendah akibat positif Covid-19 sentiasa berkongsi perkembangan dirinya di Instagram.

"Hari ini (semalam) keadaan saya sedikit teruk. Tadi, masa Zohor saya cuba solat secara normal. Tapi, saya bergelut juga nak menyudahkannya. Seksa sangat bila kita tak cukup nafas.

"Tiba-tiba saya terasa sayu sangat. Sayu bila saya dah tak boleh solat dengan sempurna. Mungkin benda ini sementara saja, tapi tetap meninggalkan kesan emosi pada saya.

"Saya tak kisah kalau diduga Covid-19 macam ni. Saya okey. Tapi saya sangat kisah bila solat saya jadi macam ini. Inilah satu-satunya komunikasi saya dengan Allah. Jadi, bila saya terkial-kial macam ini sudah tentu buat saya sayu bila saya tidak mampu solat dengan sempurna," katanya.

Menurut Shahrulezad, dia tidak kisah apabila dirinya ditimpa sakit namun berharap masih dapat menunaikan solat.

Tidak hanya itu, Shahrulezad turut meminta didoakan kesembuhan untuk semua pesakit Covid-19 yang lain dan masih menerima rawatan di semua hospital.

Terdahulu, Shahrulezad menerusi perkongsian di media sosial mengesahkan dia positif Covid-19 pada 2 November lalu selepas melakukan ujian saringan kali kedua.

Malah, untuk mengelakkan insan tersayang dan serumah dengannya dijangkiti wabak itu, dia memutuskan untuk menjalani kuarantin kendiri di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) pada 5 November lalu, sebelum akhirnya dipindahkan ke HSB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 2:23 PM