Shahrulezad
Shahrulezad
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak malam semalam berikutan paras oksigen rendah.

Berkongsi keadaan semasanya menerusi Instagram (IG), pengarah drama Nur itu berkata dia mengikut saja cadangan terbaik daripada doktor di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

"Disebabkan tahap oksigen rendah, akhirnya saya dipindahkan ke HSB. Jangan risau, tiada isu serius, cuma kelengkapan di MAEPS untuk kes pesakit kekurangan oksigen tidak secanggih di hospital ini.

"Lagipun, MAEPS dalam proses penutupan sebab kes Covid-19 di Malaysia semakin menurun. Jadi, banyak peralatan seperti mesin oksigen sudah dipindahkan," katanya.

Bagaimanapun Shahrulezad berkata sebaik di dipindahkan ke HSB, tahap oksigennya sudah meningkat dengan bantuan mesin oksigen yang ada di hospital itu.

"Setakat ini, oksigen saya sudah 98 peratus. Jika ditanggalkan takut oksigen saya jatuh balik. Sekarang doktor dalam proses nak rawat supaya sistem imunisasi badan mampu melawan 'viral load' dalam darah.

"Doktor juga berikan saya 'steroid' untuk menghalang keradangan dalam organ dalaman. Tetapi, kesan 'steroid' ini akan menaikkan gula dalam darah.

"Untuk pesakit diabetes seperti saya situasi ini memang seram jika gula naik, namun, doktor memutuskan memberi insulin buat sementara waktu hinggalah masalah keradangan dalam badan reda gara-gara Covid-19," katanya lagi.

Shahrulezad turut memaklumkan doktor juga memberikan dia suntikan untuk mencairkan darah sebab kuman Covid-19 itu yang boleh menyebabkan darahnya menjadi pekat.

Sentiasa mengemas kini status di media sosial, Shahrulezad berkata dia sangat berterima kasih dengan petugas barisan hadapan di  MAEPS dan juga HSB.

"Tak ada ucapan mampu saya ungkapkan sebagai tanda terima kasih di atas khidmat kalian dalam melayani kami pesakit Covid-19 ini.

Dari seawal Subuh sehingga lewat malam pasti kelibat-kelibat mereka akan keluar masuk memastikan  kami semua berada di dalam keadaan selesa.

"Terima kasih yang tidak terhingga pada semua 'frontliners' (petugas barisan hadapan) yang sanggup bersusah payah demi kami," katanya.

Terdahulu, Shahrulezad menerusi perkongsian di media sosial mengesahkan dia positif Covid-19 pada 2 November lalu selepas melakukan ujian saringan kali kedua.

Malah, untuk mengelakkan insan tersayang dan serumah dengannya dijangkiti wabak itu, Shahrulezad memutuskan untuk menjalani kuarantin kendiri di MAEPS pada 5 November lalu. 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 3:43 PM