Nadia Brian
Nadia Brian
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Nadia Brian berkongsi berita duka apabila beberapa anggota keluarganya disahkan positif Covid-19.

Nadia menerusi Instagram Story, pada tengah malam semalam memohon supaya peminat dan pengikutnya di platform media sosial itu mendoakan kesejahteraan keluarganya.

"Assalamualaikum. Saya nak minta semua tolong doakan keluarga saya (supaya) dalam keadaan sihat. Ibu, adik, anak saudara dan nenek saya positif Covid-19," katanya.

Dengan deraian air mata, Nadia juga berkongsi rasa dukanya dengan apa yang berlaku dalam beberapa potongan video.

"Ya Allah. Saya sangat sedih. Tak boleh nak tidur," katanya.

Di Instagram Story juga, Nadia berkongsi beberapa foto situasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Maeps, yang menempatkan ibunya.

"Kuatkanlah semangat ibuku," tulisnya.

Dalam hantaran seterusnya, Nadia berkongsi foto anak saudaranya, Umar.

"Abang Umar kesayangan Makngah. Makngah sayang Umar sangat-sangat. Umar kuat okay," tulisnya.

Beberapa jam lalu, neneknya juga dijemput oleh wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke pusat kuarantin.

"Ya Allah, kau sembuhkanlah segala penyakit dari nenekku yang tersayang," tulisnya.

Terbaharu, Nadia memuat naik video kenangan bersama keluarganya dan mengucapkan ucapan selamat hari ibu buat ibu dan neneknya.

"Selamat hari ibu. Hanya Allah yang tahu betapa susah payahnya ibu dan nenek membesarkan aku dan adik beradikku. Terima kasih atas segala pengorbanan yang tak terhingga.

"Selamat hari ibu kepada semua ibu di seluruh dunia. Saya sayang kamu semua. Doakan keluarga saya sembuh dari Covid-19," tulisnya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:02 PM