Suami Elly bersama cahaya mata mereka, Haider.
Suami Elly bersama cahaya mata mereka, Haider.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular, Elly Mazlein selamat melahirkan anak kedua iaitu bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Seri Kembangan, Selangor, awal pagi, hari ini.

Elly, 41, atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia dan bayi lelaki diberi nama Haider Mateen dalam keadaan sihat.

"Alhamdulillah saya selamat bersalin jam 12.23 pagi, hari ini. Saya dan Haider dalam keadaan sihat. Terima kasih atas segala doa.

"Terima kasih abah, suami dan anak, Putri Sara Sefhia sudah jaga mama sepanjang mengandung hingga bersalin. Alhamdulillah kita ada orang baru. Bertambah seorang lagi dalam keluarga comel kita. Alhamdulillah syukur Ya Allah.

"Suami, umi dan jururawat membaca surah Yasin, bagi ayat memudahkan bersalin dan doakan saya agar proses bersalin berjalan lancar dan dipermudahkan. Memang Allah permudahkan. Syukur," katanya.

Elly yang juga pelakon drama Kampung People menerusi hantaran di Instagram turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada doktor dan jururawat tempatnya bersalin.

"Buat pasukan Hospital Andora khusus buat Dr Khamsiah, Dr Mariam, doktor yang pernah periksa saya dan jururawat, terima kasih. Memang hebat layanan diberikan. Rasa terharu malam tadi sebelum bersalin," katanya.

Elly dan suami, Mohamad Azlan Che Nur berkahwin pada Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 11:58 AM