Zaara Talita

HARGA bergelar insan seni bukanlah sesuatu yang mudah dan murah kerana setiap pergerakan sentiasa diperhatikan.

Tidak hanya tertakluk kepada individu yang berkecimpung dalam bidang seni semata-mata, malah boleh dikatakan setiap ahli keluarga mereka turut terkena tempias populariti.

Masih berpegang kepada prinsip untuk memberikan privasi kepada anaknya, pengacara dan pelakon, Elly Mazlein, 42, mengakui kurang selesa menayangkan wajah dua buah hatinya di media sosial.

Bagi Elly, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri di dalam membesarkan anak mereka.

Sejak daripada anak sulungnya, Putri Sara Sefhia, 6, lagi, Elly yang cukup dikenali dengan panggilan Kak Lina Pom Pom itu jarang berkongsikan wajah anak kesayangannya kepada umum.

Kini Elly masih melakukan perkara sama apabila dilihat tidak terlalu mendedahkan wajah putera tersayang, Haider Mateen yang lahir pada Oktober tahun lalu.

"Buat masa ini saya masih berpegang kepada prinsip dan tidak mahu menayangkan wajah anak di media sosial. Biarlah, saya tetap dengan keputusan untuk berbuat begitu.

"Bagi saya, setiap ibu bapa ada hak mereka di dalam membesarkan anak dan ini adalah cara saya," katanya.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia tetap dengan keputusan untuk tidak terlalu berkongsi wajah anak di media sosial.

SYUKUR keluarga sentiasa di sisi.
SYUKUR keluarga sentiasa di sisi.

Berkongsi mengenai peranan membesarkan dua cahaya mata, pelakon drama Kampung People ini mengakui bukan mudah menggalas tanggungjawab itu.

Menurut Elly, memandangkan anak yang masih kecil, dia mengakui agak memilih. Namun, bersyukur kerana Allah menghadirkan rezeki melimpah-ruah buatnya.

"Sebenarnya saya sangat teruja dapat kembali bekerja seperti dulu. Tapi dengan keadaan anak yang masih kecil, saya agak memilih. Saya akan menerima tawaran mengikut kesesuaian jadual dan juga anak.

"Saya mempunyai pembantu untuk tolong jagakan anak jika keluar bekerja. Pada masa sama, abah juga tinggal bersama. Selain itu, saya beruntung kerana suami bertugas sebagai guru, jadi jika saya sibuk, suami ada di rumah untuk tolong tengokkan anak.

"Jadi, saya tidaklah terlalu risau untuk keluar bekerja kerana ada ahli keluarga sentiasa ada untuk memantau anak sepanjang saya bekerja," katanya.

Sementara itu, kehadiran Haider ke dalam keluarga itu memang cukup dinanti-nantikan anak sulung penyanyi lagu Usah Di Tambah Bara Yang Tersimpan itu.

Menurut Elly, Sefhia adalah orang yang paling teruja dengan kehadiran adiknya dan sangat menyayangi Haider.

"Sefhia memang sangat seronok sejak ada adik, dia yang sibuk selimutkan dan mencium adiknya. Bila balik dari bekerja waktu malam, bukan main lagi saya tengok Sefhia memeluk adiknya. Untung Haider kerana dapat kakak yang penyayang," katanya.

Elly mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Azlan Che Nuh, 32, pada 18 Januari 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Elly pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada November 2014, namun rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian pada Oktober 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 6:25 AM