ELLY Mazlein bersama Sefhia. FOTO arkib NSTP
ELLY Mazlein bersama Sefhia. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi Elly Mazlein meluahkan rasa syukur dan gembira apabila bekas suaminya yang juga pengarah, Azmi Hatta datang melawat anak perempuan mereka, Sefhia di kediamannya di Cyberjaya, hari ini.

Elly, 36, berkata, kehadiran Azmi itu dianggap satu nikmat apatah lagi ia berlaku pada bulan kelahirannya sekali gus menyifatkan ia sebagai hadiah hari jadinya yang bakal disambut tidak lama lagi.

"Memang selama ini saya tak pernah menghalang dia melawat anak. Tambahan pula perkara ini sudah ditetapkan mahkamah. Cuma mungkin ada sebab tertentu membuatkan dia (Azmi) tidak berbuat sedemikian.

"Apapun selama hampir sembilan bulan, saya tak pernah menyimpan dendam. Alhamdulillah apabila dia memaklumkan mahu jumpa anak, saya terbuka dan berlapang dada. Malah itu sepatutnya yang dia lakukan dari dulu lagi.

"Saya menganggap pertemuan Azmi dengan Sefhia sebagai hadiah hari jadi saya yang jatuh pada 17 Disember ini,” katanya kepada Harian Metro.

Elly yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza 3 (GV3) mengharapkan tindakan bekas suaminya itu berterusan demi masa depan anak mereka yang kian membesar.

"Saya seronok melihat Sefhia dilayan bapanya. Saya berharap selepas ini Azmi kerap menjenguk Sefhia.

"Apa pun yang berlaku antara kami, dia tetap bapa kepada Sefhia. Saya tak boleh memisahkan mereka,” katanya.

Menurut Elly, kehadiran bekas suaminya yang juga kekasih kepada pelakon Faye Kusyairi itu berlangsung dalam keadaan baik.

"Walaupun tujuannya adalah berjumpa anak, kami sempat berborak malah boleh lagi bergelak tawa. Saya tak mahu ingat lagi apa yang dia pernah lakukan terhadap saya.

"Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya juga mahu menggembirakan dan berkongsi kasih sayang dengan anak, abah dan orang sekeliling. Itu lebih bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 6:56 PM