Elly akan berkongsi nama dan wajah anak perempuannya selepas tujuh hari kelahiran. FOTO Instagram Elly
Elly akan berkongsi nama dan wajah anak perempuannya selepas tujuh hari kelahiran. FOTO Instagram Elly
Sudiman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein, 36, selamat bersalin anak perempuan seberat 2.5 kilogram 6.30 petang tadi di sebuah pusat perubatan di sini.

Menurut Elly, dia bersalin dua minggu awal dari tarikh jangkaan bersalin iaitu pada hujung bulan ini.

"Alhamdulillah, saya selamat bersalin secara normal. Anak juga dalam keadaan sihat.

"Jika tidak ada sebarang masalah, doktor membenarkan saya pulang esok, tetapi saya minta untuk berehat selama beberapa hari dahulu," katanya kepada Harian Metro malam tadi.

Menurut Elly berkata, sepanjang proses bersalin suaminya yang juga pengarah drama, Azmi Hatta sentiasa berada di sini menemaninya.

"Tengah hari tadi suami menemani saya pergi membuat pemeriksaan. Dalam masa sama doktor memberitahu rahim sudah terbuka 2 sentimeter.

"Disebabkan itu saya terus dimasukkan ke wad. Sementara suami pula terpaksa membatalkan penggambaran hari ini," katanya.

Elly berkata, dia akan berkongsi nama dan wajah anak perempuannya selepas tujuh hari kelahiran.

Penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini memberitahu dia akan berpantang secara tradisional.

Elly dan Azmi berkahwin pada 9 November 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 10:40 PM