ADAT Sanggul Lintang.
ADAT Sanggul Lintang.
Ridzuan Abdul Rahman


KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus komited dalam memperkasa dan memperkayakan rujukan berkaitan warisan tidak kira dengan menghasilkan jurnal berkaitan seni budaya tempatan.

Penghasilan jurnal ini bertitik tolak daripada penganjuran Bengkel Penulisan Jurnal Seni Budaya 2020 pada tahun lalu, yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hingga kini, sebanyak 16 jurnal sudah dihasilkan dan akan diterbitkan secara digital melalui pelantar NeuCanvas JKKN.

Walaupun usaha dibuat itu boleh dikatakan masih setahun jagung, namun penulisan artikel ini sudah mendapat perhatian pelbagai pihak.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, mereka menyasarkan 17 artikel jurnal dihasilkan tahun ini.

"Bersama-sama tenaga pembimbing dari Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya (UM), JKKN sudah berjaya menyediakan satu garis panduan penulisan artikel jurnal penyelidikan seni budaya yang secara asasnya mengikut panduan penulisan artikel jurnal ditetapkan.

"Berbeza dengan tahun lalu yang mengguna pakai format APA Style edisi keenam dan untuk kali ini kami menggunakan rujukan 'Chicago Manual of Style'.

"Perbezaan format rujukan adalah bagi memberikan peluang kepada jabatan dan pegawai untuk meneroka kesesuaian penulisan yang menepati piawaian semasa," katanya.

Menurutnya, garis panduan yang sudah dibangun itu akan dimantapkan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan penulisan jurnal jabatan.

"Selain itu, ia boleh dijadikan rujukan kepada penggiat dan penulis seni budaya yang berhasrat untuk menyumbang dalam penulisan seni budaya.

"Sejajar dengan Pelan Strategik JKKN 2021-2025, kami berhasrat untuk mengekalkan momentum penghasilan jurnal secara tetap dan berterusan bagi tempoh lima tahun sebagai usaha untuk mendapatkan sitasi jurnal tempatan daripada Pusat Sitasi Malaysia (PSM) untuk diindekskan dalam pangkalan data MyCite.

ADAT Berbayoh dalam Pengubatan Tradisional Etnik Melanau.
ADAT Berbayoh dalam Pengubatan Tradisional Etnik Melanau.

"Perancangan jangka panjang pula, JKKN menyasarkan untuk menghasil jurnal penyelidikan seni budaya yang menepati piawaian penulisan jurnal antarabangsa dan diperakui sebaris 'standard' SCOPUS/WOS/PubMed/CiteSeer dan lain-lain," katanya.

Artikel 'Pantang Larang Kaum Lelaki Melanau, Sarawak dan Kesan Ketidakpatuhan' oleh Mohamad Husri Morni sudah diterbitkan dalam BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences.

Manakala artikel 'Susur Rawai Dessit Duano dalam Seni Dangkong' oleh Rahmat Damiri dan 'Adat Berbayoh dalam Pengubatan Tradisional Etnik Melanau' oleh Zurairi Hanip. Mereka kini sudah dihantar untuk penerbitan dalam Jurnal Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jurnal Semarak Bahasa, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kuala Lumpur.

Lain-lain jurnal yang akan diterbitkan oleh JKKN adalah 'Boneka Batang Besi dalam Persembahan Opera Teochew di Pulau Pinang' oleh Zahir Ahmad, 'Persembahan Kumpulan Gambus Seni Warisan Kampung Padang Changkat: Satu Pengenalan dan Eksplorasi Struktur Persembahan' oleh Mohd Rafi Jafranee dan 'Pengurusan Kostum' dalam Persembahan Teater oleh Badan Bukan Kerajaan Seni Budaya di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan oleh Suhaimi Abdul Rahim.

Tidak ketinggalan ialah 'Perlambangan Bahasa dalam Mantera Bersandoi di Kampung Tengkek, Padang Lebar, Negeri Sembilan' oleh Farah Damanyati Ahmad, 'Kemerosotan Seni Persembahan Dondang Sayang di Melaka serta Satu Tinjauan Terhadap Persepsi Penggiat Seni' oleh Norazlina Othman. Diikuti, Proses Atangumoh Etnik Murut Tahol di Kemabong, Tenom, Sabah' oleh Mohd Zanidizam Mohd Dilam.

Manakala yang lainnya ialah 'Elemen Asas dan Mesej Dalam Lirik Lagu Yang Mengiringi Tarian Tradisional Ceracap Inai di Johor' oleh Eldawati Laung, 'Menora Masyarakat Siam-Kelantan dalam Cerpen Karya Eh Deng Eh Chik' oleh Siti Rohayu Muhamad, 'Adat Rombak Dapur di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia' oleh Umi Abdullah.

Tidak ketinggalan 'Penghasilan Naskhah Nur Sakti: Teater Tradisional Terengganu' oleh Azaha Othman, 'Demografi dan Persepsi Pengunjung di Festival Permainan Tradisional Malaysia@Kuala Lumpur 2019: Satu Tinjauan' oleh Ahmad Zaimy Mohd Yusoff, 'Osman Ibrahim: Bintang Bangsawan Negeri Pahang' oleh Sapinah Ismail dan 'Jikey' oleh Normila Mohd Said.

Semua artikel ini adalah cetusan idea dan hasil garapan penulisan pegawai JKKN sendiri dengan bantuan Prof Madya Dr Norazlina Mohd Kiram, Prof Madya Dr Zariat Abdul Rani dan Dr Jamayah Zakaria.

Mesran berkata, pihaknya juga menyedari bahawa proses pengiktirafan ini adalah sesuatu yang sukar, namun diyakini ia boleh dicapai dengan komitmen dan kerjasama yang berterusan.

"Sebagai langkah awal, semua artikel jurnal akan dikompilasikan dalam satu koleksi jurnal yang boleh dicapai melalui pelantar digital JKKN di laman web serta NeuCanvas mulai Disember depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:41 AM