EZAD lazim tampil sebagai artis undangan khas membuat persembahan.
EZAD lazim tampil sebagai artis undangan khas membuat persembahan.
Ridzuan Abdul Rahman


Program Merakyatkan Seni Budaya (PMSB) : Nostalgia Zaman Silam yang diadakan di Perkampungan Adat Melayu Seri Banian, Kampung Bendang Bukit, Pendang, Kedah anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berlangsung dengan lancar dan meriah, baru-baru ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan & Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad; Exco Kerja Raya, Bekalan Air & Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob; dan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Norazman Othman ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) Kedah.

Program ini diadakan bertujuan memperkenalkan cara hidup orang Melayu zaman dahulu merangkumi adat resam, busana, seni bina, makanan, dan lain-lain kepada generasi muda.

Selain itu ia juga untuk mempromosikan Perkampungan Adat Melayu Seri Banian sebagai salah satu destinasi pelancongan budaya yang mampu menjana ekonomi masyarakat tempatan.

Tidak ketinggalan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui JKKN turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM54,600 kepada penggiat seni budaya di Kedah.

TOKOH Bangsawan Negeri Kedah, Morad Ibrahim menerima sijil penghargaan dan wang tunai.
TOKOH Bangsawan Negeri Kedah, Morad Ibrahim menerima sijil penghargaan dan wang tunai.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, pihaknya komited untuk terus menganjurkan program sebegini dalam peranan mereka untuk memulih dan memelihara seni budaya tanah air.

"JKKN berharap dengan adanya sumbangan ini dapat membantu penggiat seni budaya agar terus bersama menyemarakkan seni budaya sungguhpun kita masih dalam situasi pandemik," katanya.

Program yang diadakan secara tertutup ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian, antaranya perarakan sambutan yang membabitkan penggiat seni budaya daripada pelbagai kaum.

Turut ditampilkan ialah persembahan tarian dan muzik tradisional, seni mempertahankan diri silat dan wushu, demonstrasi produk kraf, demonstrasi masakan makanan tradisional, acara gotong-royong kenduri rakyat yang diketuai Cef Shaifudin Rosli dan pameran senjata tradisional.

Penyanyi terkenal kelahiran Kedah iaitu Ezad Lazim turut tampil memeriahkan program ini.

JKKN berharap program ini dapat mengembalikan nostalgia kepada orang ramai.
JKKN berharap program ini dapat mengembalikan nostalgia kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 6:42 AM