YUKA kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment.
YUKA kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment.
Syafil Syazwan Jefri


Perjalanan seni figura bernama Yuka Kharisma bukanlah satu perjalanan yang mudah untuk ditempuh.

Bermula sebagai salah seorang peserta dalam program Indonesian Idol pada 2008 di Indonesia, Yuka melangkah dan melebarkan sayapnya di Malaysia.

Kini, Yuka membina keluarga di Malaysia dan pada masa sama, terus menerus mengorak langkahnya dalam muzik tanpa penat dan jemu.

"Selepas selesai dengan Indonesian Idol pada 2008, penyanyi Titi DJ menawarkan saya untuk menjadi penyanyi di bawah naungannya.

"Tak lama selepas itu, saya mula menerima tawaran untuk menyanyi di Malaysia sebagai penyanyi di majlis-majlis perkahwinan dan acara korporat.

"Saya bersyukur kerana sehingga kini, banyak rezeki dan tawaran nyanyian yang saya terima di sini (Malaysia)," katanya.

Berkongsi lagi rasa bahagianya, Yuka memaklumkan bahawa tahun ini menjadi paling bertuah buat dirinya apabila kini pertama kali dia bernaung di bawah syarikat pengurusan.

"Sebelum ini, saya bergerak secara sendiri. Jadi, tentunya ada pelbagai cabaran dan kekangan apabila bergerak sendiri. Sekarang, alhamdulillah saya bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment.

"Satu perkara yang menarik adalah saya bukan saja menandatangani kontrak sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai komposer di bawah syarikat ini.

"Saya percaya, dengan adanya pengurusan yang kukuh ini akan dapat membantu untuk menaikkan lagi nama serta karya-karya saya di masa akan datang," katanya.

YUKA lebarkan sayap ke Malaysia dalam muzik tanpa penat dan jemu.
YUKA lebarkan sayap ke Malaysia dalam muzik tanpa penat dan jemu.

Ditanya mengenai pembabitan Titi DJ dalam perjalanan karier seninya, Yuka memaklumkan bahawa dia masih lagi berhubung dengan penyanyi yang dianggap Diva Indonesia itu sehingga ke hari ini.

"Sehingga kini pun, saya masih lagi berhubung dengan Titi DJ. Ada kalanya kami berbual di Instagram dan dia pun tahu mengenai kehadiran single terbaru saya ini.

"Sejujurnya, Titi DJ adalah antara individu yang banyak membantu saya dalam mengembangkan karier seni yang diceburi.

"Ilmu dan jasanya kepada saya mengenai selok belok dunia muzik banyak membantu saya dan menjadi bekal buat saya dalam mengukuhkan lagi karier ini," katanya.

Terbaharu, pemenang anugerah Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik ke-15 ini hadir dengan single berjudul Melihatmu Bahagia yang benar-benar memberi impak kepada ramai pendengar.

"Alhamdulillah, single baharu ini mula meraih perhatian ramai pendengar. Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, inspirasi dalam penghasilan lagu ini tercetus daripada rasa rindu kepada ibu saya.

"Apabila lagu ini sudah disiapkan, ibu saya yang berada di Indonesia menjadi antara orang terawal yang saya perdengarkan.

"Air matanya menitis saat mendengarkan lagu ini dan ia membuat saya sangat terharu. Secara ringkas, ia mengisahkan mengenai pengorbanan seorang ibu kepada anaknya," kata Yuka.

Selain Melihatmu Bahagia, Yuka yang pernah berkolaborasi dengan Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari dalam satu konsert pada 2018 juga bakal hadir dengan album terbaharunya.

"Kini, semuanya masih dalam proses perbincangan. Insya-Allah, sekiranya semuanya berjalan lancar, saya akan keluarkan album penuh.

"Konsepnya mungkin lebih matang dari segi susunan muzik dan komposisi lagu berbanding dengan album terdahulu pernah saya hasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:10 AM