Datin Eina Azman dan keluarganya.
Datin Eina Azman dan keluarganya.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon Datin Eina Azman dan suami, Datuk Gurmeet Abdullah serta dua pembantu rumah mereka disahkan positif Covid-19. 

Eina berkata, dia berasa terkejut dan 'bingung' bagaimana mereka boleh positif virus itu. 

"Macam nak gugur jantung bila dapat keputusan sebab saya selalu buat ujian saringan. Minggu lalu saya dan suami baru saja buat ujian saringan sebelum menjalani pembedahan dan keputusannya negatif. 

"Saya tak tahu macam mana dalam seminggu saya boleh dijangkiti virus ini. Sedih bila terpaksa tengok anak-anak melalui ujian saringan. Saya memang tak sampai hati," katanya. 

Menurut Eina, dia bagaimanapun bersyukur apabila anak kembarnya, Arianna Aubrey dan Karl Kareef disahkan negatif wabak itu.

"Alhamdullilah nasib baik anak-anak negatif dengan kakak saya, Wenny Azman. Sekarang saya dah mula demam panas dan batuk. Cuma keadaan suami saya kurang baik sebab demam terlalu panas dan bacaan oksigennya turun naik. Jadi setiap dua hari kami kena pergi hospital untuk jumpa doktor bagi memantau keadaan dan menjalani X-ray," katanya. 

Dalam masa sama, Eina turut hilang kata-kata apabila sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh hari ini disambut dalam keadaan amat menyedihkan. 

"Hari ini adalah ulang tahun perkahwinan kami tapi begini pula jadinya. Ya Allah memang hilang kata-kata. Apapun saya percaya ini semua ketentuan Allah dan kami terima dengan hati yang terbuka. Saya minta tolong semua doakan untuk kami sekeluarga bersama pembantu rumah," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:21 PM