Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Datin Paduka Eina Azman disahkan positif Covid-19 kali kedua dan memohon kontak rapat dengannya untuk membuat ujian saringan kesihatan sekiranya mempunyai simptom.

Selain Eina, kakak dan anak kembarnya iaitu Arianna Aubrey dan Karl Kareef yang berusia lima tahun turut dijangkiti virus itu.

Eina, 27, atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 27, berharap jangkitan kali ini tidak meninggalkan impak dan kesan teruk seperti kali pertama dahulu.

"Semalam, saya dan keluarga menjalani ujian saringan kesihatan. Saya, kakak dan Aubrey serta Karl positif Covid-19. Semoga kali ini kami dapat melaluinya dengan baik.

"Jadi, kepada sesiapa yang ada bertemu dan berjumpa saya serta keluarga, jika ada simptom saya mohon tolong buat ujian saringan Covid-19. Terima kasih," katanya.

Menuut Eina, suaminya, Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah dan dua pembantu rumahnya tidak dijangkiti virus itu. 

"Alhamdulillah, buat masa ini suami dan dua pembantu rumah masih lagi negatif. Semoga mereka kekal negatif dan sihat sehingga kami selesai tempoh kuarantin. 

"Berdasarkan pengalaman lalu, saya kini sedang menyediakan sup ketam nipah buat keluarga. Ini antara ikhtiar saya selain daripada ubat-ubatan yang diambil. Doakan semuanya baik-baik saja," katanya. 

Terdahulu, keluarga Eina diuji dengan Covid-19 selama 12 hari selepas mereka disahkan positif virus itu.

Suaminya hampir dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) berikutan jangkitan virus merebak 30 peratus pada paru-paru sekitar September lalu. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:47 PM