Harry Khalifah
Harry Khalifah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Komposer, Harry Khalifah melahirkan perasaan kesal dengan tindakan sebuah portal yang didakwa cuba memburukkan namanya.

   Harry yang mesra dengan panggilan Apak berkata, dia tidak tahu matlamat portal terbabit berbuat demikian.

   "Twitter ini dah lama dan saya tak kenal, siapa pemiliknya. Tapi, portal berkenaan sebaliknya tiba-tiba membangkitkan semula isu mengaitkan saya sebagai 'perosak industri muzik'. 

   "Saya tak kenal siapa pengendalinya. Cuma yang sedih, kenapa nama saya dikaitkan lagi sebagai perosak industri muzik tanah air?

  "Sedangkan lagu-lagu saya tidak dimainkan di radio popular seperti Era dan Hot FM pun. Kalau main pun jarang-jarang sekali," katanya kepada Harian Metro.

   Komposer yang menghasilkan deretan lagu-lagu popular, termasuk Hang Pi Mana itu berkata, pihak-pihak terbabit tidak sepatutnya berdengki begitu sekali terhadap perjalanan kerjayanya.

   "Lainlah kalau lagu saya selalu dimainkan di radio-radio utama atau selalu keluar di TV. Itu bolehlah kalau nak komen. 

   "Tapi masalahnya, lagu-lagu saya pun jarang dimainkan. Jadi, kenapa orang nak dengki? Saya buat lagu ibarat penjual nasi lemak tepi jalan. 

  "Sekiranya ada orang nak beli, silakan. Tapi kalau tak nak beli, boleh pergi kedai lain. Begitulah juga, dalam muzik. Ia luas dan tiada had. Kenapa nak 'jatuhkan' Harry Khalifah?," katanya.

   Menurutnya, terdapat banyak lagi lagu-lagu lain yang bukan-bukan, namun agak menghairankan apabila hanya dia seorang menjadi mangsa.

   "Seingat-ingatnyalah, saya tidak pernah ada musuh dalam industri. Saya seorang manusia yang suka berkawan. Tapi, tidak tahulah kalau ada yang benci saya di belakang.

   "Pada saya portal ini ibarat cuba nak melagakan atau mengapi-apikan. Kalau mereka rasa hebat dalam muzik, silakan tampil dengan karya mereka. Saya tak pernah rasa dengki dengan orang lain pun. 

   "Kita sama-sama cari makan menerusi muzik. Saya pun ada isteri dan tujuh anak untuk disuap. Diharapkan mereka jangan petik, nama saya lagi. Banyak lagi komposer yang bagus dalam industri seni kita," katanya.

   Apapun Harry berkata, sekiranya dia ada melakukan kesalahan, dia memohon maaf kepada mana-mana pihak yang pernah terasa hati terhadapnya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:42 PM