Fauzi dan Hairul
Fauzi dan Hairul
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Kami terkilan!". Demikian kenyataan komposer terkenal, Fauzi Marzuki dan penulis lirik, Hairul Anuar Harun apabila pihak stesen televisyen swasta seakan tidak menghargai karya-karya ciptaan mereka yang disiarkan menerusi pertandingan nyanyian popular yang sedang berlangsung.

Fauzi, 68, berkata, program terbabit sangat mementingkan keuntungan dan rating serta menggunakan lagu-lagu ciptaannya untuk kepentingan mereka semata-mata.

"Tapi saya yang sedikit sebanyak memberikan input daripada hasil karya saya tak diberi langsung penghormatan.

"Jadi saya rasa terkilan terutamanya semasa minggu yang menampilkan lagu-lagu saya. Saya ternampak ada Nash (Datuk Nash) hadir. Lagu Penghujung Rindu (Datuk Jamal Abdillah) dan Pusara Di Lebuhraya (Ekamatra) pun ada.

"Jamal dan Rahmat (Ekamatra) tak hadir. Jadi apa salahnya tempat ini diberi kepada komposer atau penulis lirik? Berilah penghormatan kepada kami," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, artis bukanlah karakter utama sebaliknya ia lebih terarah kepada juri dan program itu sendiri.

"Artis cuma digunakan untuk kepentingan mereka dan keuntungan. Kalau mereka guna lagu-lagu kami untuk program itu, kenalah hormat. Bukannya kena bayar pun.

"Cuma jemput sahaja, terpulanglah pada saya untuk hadir atau tidak. Saya bukan nak kenakan bayaran. Ia sedikit penghormatan tapi langsung tiada atau beritahu.

"Mereka seronok saja buat program. Kalau tiada lagu saya, tiada program itu tau! Sangat terkilan. Saya dah tahap beritahu publisher, jangan benarkan pihak terbabit gunakan lagu saya dalam program mereka," katanya.

Sementara itu, Hairul, 48, berkata, tiga lagu yang ditulis liriknya iaitu Ya Maulai, Hati Kami sudah digunakan dan minggu depan, Cindai akan ditampilkan dalam program itu.

"Saya tiada masalah pun mereka nak guna lagu. Orang tetap tak kenal saya dan ia bukanlah masalah. Program itu pun jarang sebut nama komposer dan penulis lirik.

"Saya akui tak pernah dijemput atau disebut nama. Lagu banyak dimainkan, tapi tak nak sebut nama. Bukan sahaja program berkenaan tapi mana-mana program TV pun sama.

"Pada saya apresiasi pada karyawan seni dah tiada. Saya salah seorang dari karyawan yang ketengahkan isu ini. Boleh tanya ramai lagi yang mungkin sependapat dengan saya," katanya.

Hairul berkata, dia tiada masalah sama ada dijemput atau tidak ke program terbabit.

"Kami pun sibuk dengan pelbagai program, tapi sekurang-kurangnya sebutlah nama supaya orang sekarang tahu siapa yang buat lagu itu dan siapa penulis liriknya.

"Janganlah sebut penyanyi dan nama lagu sahaja. Itu namanya penghargaan kepada karyawan lama yang banyak menyumbang kepada industri.

"Lagipun program ini banyak memilih lagu-lagu lama bukannya lagu-lagu sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 12:19 PM