ROSMIN Hashim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio, Kenny Ong (empat dari Kiri) dan Ketua Kandungan Astro Radio, Priya Prabakaran (empat dari kanan) bersama artis pada sidang media kolaborasi RIM bersama Astro Rado di @Zbotanica, Bandar Utama. FOTO Hazreen Mohamad
ROSMIN Hashim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio, Kenny Ong (empat dari Kiri) dan Ketua Kandungan Astro Radio, Priya Prabakaran (empat dari kanan) bersama artis pada sidang media kolaborasi RIM bersama Astro Rado di @Zbotanica, Bandar Utama. FOTO Hazreen Mohamad
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menerima apa saja bentuk karya muzik yang wujud dalam industri muzik tanah air sekiranya ia diterima peminat dan mendapat sambutan.

Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, kualiti dan nilai sesuatu karya itu bersifat subjektif dan pengikut muzik perlu menerima secara terbuka akan kehadiran apa juga karya muzik.

"Dari segi kualiti, itu subjektif. Saya sebagai peniaga nak kandungan yang boleh diterima ramai. Dalam industri muzik sekarang, mana-mana selebriti yang ada ramai peminat ada peluang untuk berjaya dengan apa saja yang dihasilkan," katanya kepada Harian Metro.

Rosmin berkata demikian bagi mengulas mengenai kewujudan lagu-lagu beberapa ahli perniagaan yang menjadi penyanyi hingga mendapat reaksi negatif peminat muzik.

"Generasi sekarang, ramai nak buat kandungan (content). Budak-budak ramai nak jadi YouTuber, Instafamous dan sebagainya, termasuklah golongan ini (ahli perniagaan).

"Walaupun Datuk Seri Vida bukan komposer atau penyanyi, apa yang dia buat mendapat perhatian ramai. Sekejap saja dah dapat beberapa juta tontonan.

"Ada yang lebih popular daripadanya pun tak dapat perhatian sebegitu. Kalau itu memenuhi kehendak pendengar, kita kena terima," katanya.

RIM yang baru saja melancarkan carta dikenali sebagai RIM Chart menerima apa saja karya muzik yang distrim ramai pendengar di apa juga platform.

"Kalau lagu itu distrim dengan jumlah yang tinggi, ia memang akan dimainkan di RIM Chart tidak kiralah sama ada ia berkualiti atau pun tidak," katanya.

RIM Chart adalah hasil kerjasama antara RIM dengan Astro Radio dan menggunakan platform tiga stesen radio Astro iaitu Era, Hitz FM dan MY bermula 2 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 12:57 PM