Apak Harry Khalifah
Apak Harry Khalifah
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Apak Harry Khalifah bangga apabila ada menggelar lagu dihasilkan adalah karya kampung atau 'leman'.

Harry, 41, atau nama sebenarnya Ahmad Sairi Haslan Mohd Redzwan berkata, apa yang penting setiap karya dihasilkan lahir dari hati sehingga mampu diterima baik peminat muzik tanah air.

"Tak dinafikan setiap komposer pasti akan berasa tekanan dalam menghasilkan lagu. Macam saya, apa yang keluar di fikiran dan hati, saya keluarkan saja. Malah, semua lagu saya memang datang dari hati. Walaupun orang kata lagu-lagu kampung atau 'leman'.

"Saya lagi bangga orang kata lagu saya kampung dan 'leman'. Saya bangga dilabel penyanyi lagu kampung. Tak terkesan pun dengan cakap-cakap orang. Apa yang pasti saya akan terus berusaha berkarya sampai bila-bila.

"Pada saya, tak perlu nak merendahkan atau bandingkan karya orang. Semua ini datang daripada Allah. Saya rasa tak perlu. Karya itu pula datang dari hati masing-masing," katanya.

Bertitik tolak dari semua itu, Harry muncul dengan single terbaharu berjudul Seishin yang diambil dari bahasa Jepun bermaksud semangat.

"Seishin ini menceritakan mengenai perjalanan kehidupan saya dalam industri muzik yang mana saya bermula betul-betul dari bawah dengan usaha kerja keras, naik dan turun, dicerca, dimaki sehinggalah menjadi Apak Harry Khalifah yang sekarang ini.

"Bukanlah nak berasa diri saya sekarang bagus atau hebat, tetapi dengan pencapaian sekarang saya sangat bersyukur, alhamdulillah. Selain itu saya dikenali dengan karya-karya dihasilkan serta dapat memberikan sumbangan kepada artis baru," katanya.

Seishin juga single instrumental pertama yang Harry dilancarkan secara rasmi pada 16 Julai lalu.

Video muzik lagu itu berada di kedudukan ke-20 trending YouTube dengan jumlah tontonan melebihi 195,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 4:57 PM