FILEM aksi lakonan Angelina Jolie sebagai pegawai bomba cuba selamatkan budak diburu pembunuh upahan. - FOTO Google
FILEM aksi lakonan Angelina Jolie sebagai pegawai bomba cuba selamatkan budak diburu pembunuh upahan. - FOTO Google
HM Digital

REVIU

  • FILEM: Those Who Wish Me Dead

  • PENGARAH: Taylor Sheridan

  • PENULIS SKRIP: Michael Koryta, Charles Leavitt, Taylor Sheridan

  • PELAKON: Angelina Jolie, Nicholas Hoult, Finn Little, Aidan Gillen, Medina Senghore, Tyler Perry

  • TERBITAN: New Line Cinema, Bron Studios, Film Rites, Creative Wealth Media

  • ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

    (Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

    Bagi peminat bintang Hollywood, Angelina Jolie, kehadiran filem Those Who Wish Me Dead tentunya akan menjadi pengubat rindu untuk melihat aksi lakonannya yang cukup sinonim dengan filem-filem aksi.

    Ketika pertama kali menonton 'trailer' filem ini, saya dapat rasakan ada sesuatu yang istimewa dalam karya arahan pengarah Taylor Sheridan ini. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya untuk menyaksikan sendiri jalan cerita ditulis oleh Michael Koryta ini.

    Berbeza dengan filem-filem lakonan Angelina yang sering kita tonton sebelum ini, karakternya sebagai Hannah menampilkan dia sebagai anggota bomba yang juga penerjun penyelamat.

    Dia bukanlah wanita yang memiliki kuasa luar biasa seperti karakternya dalam filem Maleficent. Dia juga bukanlah wanita yang hebat dalam pertarungan seperti yang kita pernah tonton dalam filem Tomb Raider mahupun Salt.

    Hannah adalah anggota bomba yang memiliki mimpi ngeri apabila gagal menyelamatkan nyawa beberapa remaja yang terperangkap dalam kebakaran hutan dan mimpinya itu meninggalkan rasa bersalah dalam dirinya.

    Namun begitu, dia tidak mahu mengulangi kesilapannya dan cuba membantu kanak-kanak bernama Connor yang diburu oleh dua pembunuh upahan.

    Connor yang menyimpan satu rahsia besar diburu selepas pembunuh upahan itu membunuh bapanya dan kini, dia terpaksa bergelut untuk menyelamatkan nyawanya.

    ANTARA babak dalam filem Those Who Wish Me Dead. - FOTO Google
    ANTARA babak dalam filem Those Who Wish Me Dead. - FOTO Google

    Kebetulan, saat melarikan diri ke dalam hutan, dia bertemu dengan Hannah dan kedua-dua mereka cuba memahami situasi yang berlaku dan dari situ dia mahu berusaha menyelamatkan nyawa Connor.

    Pada masa sama, kedua-dua pembunuh upahan itu menarik perhatian pihak berkuasa dengan membakar hutan di kawasan berkenaan, sekali gus ingin mengaburi mata pihak berkuasa supaya tidak menyiasat mengenai kes pembunuhan di kawasan itu.

    Dari segi jalan cerita, mungkin ada beberapa perkara yang kita sebagai penonton boleh jangkakan. Namun, ia tidaklah mencacatkan jalan cerita filem ini atau menimbulkan rasa bosan saat menonton.

    Babak aksinya juga tidak terlalu padat kerana ia adalah aksi wanita bekerja sebagai pegawai bomba cuba menyelamatkan kanak-kanak yang tidak dikenalinya dan pada masa sama, menyelamatkan nyawa mereka daripada rentung di dalam kebakaran hutan.

    Daripada apa yang saya baca, Angelina dalam satu temu bual bersama media antarabangsa berkongsi mengenai bagaimana Sheridan selaku pengarah benar-benar 'membakar' hutan untuk memastikan babak itu benar-benar realistik.

    Jadi, dalam kata lain, babak kebakaran hutan itu bukanlah menggunakan bantuan teknik pengimejan berkomputer (CGI) sepenuhnya.

    Selain itu, dari segi mesej yang dapat dilihat menerusi filem ini, ia mengajak penonton untuk melawan rasa bersalah yang bukan berlaku kerana diri sendiri selain menekankan mengenai kepercayaan kepada seseorang.

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:49 AM