Aqeef Anaqi
Aqeef Anaqi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Amar Baharin tidak menyangka perkongsian video isterinya, Amyra Rosli di Instagram berkenaan gelagat anak sulung mereka, Aqeef Anaqi menjadi tular.

   Video itu memaparkan Aqeef Anaqi yang berusia tiga tahun, sedang membaca doa makan sambil mengalirkan airmata ketika berada di meja makan.

   Amar, 36, ketika dihubungi berkata, mereka sememangnya mendidik anak-anak supaya membaca doa setiap kali mahu minum atau makan.

   "Memang ini rutin harian dia dari kecil. Dan kejadian video yang tular semalam itu, Anaqi menangis sebab lapar.

   "Tapi dalam masa sama, dia mengantuk. Kanak-kanak punya "bad mood". Tak sangka hari ini terlalu ramai yang komen dan 'repost' video itu," katanya kepada Harian Metro.

   Menurutnya, video ini bukanlah rakaman baharu kerana sudah dirakam pada Disember, tahun lalu.

   "Amyra banyak koleksi video gelagat anak-anak di rumah. Kami jadikan kenangan untuk kami.

   "Perkongsian ini tidak bermaksud apa-apa dan tiada apa pun yang nak ditunjuk tunjuk pun.

   "Saya berpendapat semua ibu bapa pun mengajar anak-anak dengan doa. Cuma video tu "rare" sebab dia baca doa sambil menangis dan lancar pula," katanya.

   Selain Aqeef Anaqi, pasangan ini turut mempunyai anak kedua iaitu Ayra Aryssa kita berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 7:57 PM