RAKAMAN CCTV menunjukkan wanita itu melakukan regangan sebelum memecah masuk premis itu. FOTO Agensi
RAKAMAN CCTV menunjukkan wanita itu melakukan regangan sebelum memecah masuk premis itu. FOTO Agensi
AFP

Melbourne: Wanita yang dirakam melakukan senaman yoga di hadapan sebuah kedai roti di Richmond, Australia, sebelum memecah masuk premis itu dan mencuri kroisan badam, sepasang kasut dan beberapa produk pembersihan, baru-baru ini, sudah didakwa di mahkamah, kata polis Australia.

Polis berkata, wanita berusia 44 tahun itu didakwa atas tuduhan mencuri, pecah rumah dan dilengkapi peralatan untuk mencuri.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin dan diarahkan hadir di Mahkamah Majistret Melbourne, pada 22 Mei depan.

Pada masa kejadian curi 3 Mac lalu, 'perompak yoga' yang tidak dinamakan itu berpakaian jaket kulit hitam, seluar jeans hitam koyak dan berkasut hitam dikesan dalam rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Pencuri terbabit dirakam CCTV untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minit, meregangkan ototnya di tempat letak kereta di Bakeri Phillippa's Bakery, pada waktu malam, sebelum dia kelihatan memasuki kedai roti itu.

Pemilik kedai roti itu berkata, antara barang yang dicuri oleh pencuri itu adalah kasut pembuat roti, kroisan badam dan beberapa produk pembersihan.

"Kami agak terkejut apabila kami melihat rakaman keselamatan menunjukkan pencerobohan, baru-baru ini, di kedai roti kami.

"Nampaknya, yoga adalah satu kemestian sebelum memecah masuk. Beberapa barang dicuri termasuk kroisan, di mana ia terlalu 'menggoda' buat pencuri ini," katanya secara sinis dalam satu hantaran di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 11:37 AM