twitter@georgie_joseph


ANNYEONGHASEYO! Selepas berehat, kumpulan CNBLUE kini sedia meneruskan legasi muzik mereka.

Mereka sudah ada perancangan tersendiri sekembalinya daripada khidmat ketenteraan sebelum ini.

Dianggotai Jung Yong-hwa, Kang Min-hyuk dan Lee Jung-shin, misi utama mereka sekarang adalah untuk mengekalkan imej sebagai artis K-Pop. Bagi mereka, perjuangan akan tetap diteruskan selaku senior kepada artis lain.

Yong-hwa berkata, mereka mahu mempertahankan legasi itu apatah lagi CNBLUE adalah pelopor kepada kemaraan artis K-Pop lain di peringkat antarabangsa. Tanggungjawab mereka adalah untuk terus hasilkan karya terbaik dalam tempoh 10 tahun mendatang.

"Saya tidak mahu legasi kami diambil alih oleh sesiapa. CNBLUE adalah kumpulan K-Pop pertama yang melakukan siri jelajah dunia. Kami berharap dapat terus hasilkan karya terbaik seperti terdahulu. Kami juga mahu menjadi contoh yang bagus kepada artis junior," katanya.

Bercerita mengenai pengalaman berada dalam latihan ketenteraan, Yong-hwa bertuah masa dihabiskan di sana cukup berharga. Selain menjalani latihan, dia gembira apabila dapat berkongsi perspektif berguna bersama pelatih lain.

"Apabila rakan lebih muda berkongsi pengalaman mereka dan kebimbangan mengenai masa depan, saya terasa diri bertuah. Pada masa sama, ia membangkitkan semangat saya juga.

"Saya rasa masing-masing mendapat pembelajaran baharu selepas tamat perkhidmatan. Bagi kami, pengalaman itu benar-benar meningkatkan lagi tahap keyakinan diri selepas menamatkannya," katanya.

Menurut Jung-shin, paling penting mereka juga tidak pernah mengabaikan jalinan persahabatan. Walaupun memiliki perbezaan dari pelbagai aspek, namun itulah kekuatan sebenar yang harus mereka pertahankan.

"Saya tersenarai untuk menyertai latihan ketenteraan pada hari yang sama dengan Min-hyuk. Saya tidak pasti sama ada disebabkan kebetulan itu, kami bagaikan susah dipisahkan dan banyak melakukan perkara bersama.

"Kami berbeza, namun sangat seronok berkongsi perbezaan itu. Dia (Min-hyuk) adalah seorang sahabat yang seperti ahli

keluarga saya sendiri. Saya juga sentiasa mengikuti Yong-hwa sejak dari remaja lagi. Abang saya seusia dengannya dan saya sudah menganggapnya seperti abang saya juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:30 AM