CNBLUE
CNBLUE
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penantian hampir 10 tahun peminat CNBLUE untuk melihat kumpulan pop rock Korea Selatan itu mengadakan konsert di Malaysia bakal menjadi kenyataan.

CNBLUE akan menjayakan konsert dinamakan 2024 CNBLUE Live 'CNBLUENTITY' in Kuala Lumpur pada 20 April ini, jam 8 malam, di Mega Star Arena, di sini, anjuran Hit Maker Entertainment dan Lo-Fi Entertainment.

Dianggotai Yonghwa sebagai penyanyi utama dan gitar, Minhyuk (dram) dan Jungshin (bass), kali terakhir mereka mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2014.

CNBLUE memulakan kerjaya seni mereka pada 2010 di bawah pengurusan FNC Entertainment. Mereka terkenal dengan corak persembahan bertenaga atas pentas.

Gabungan nama kumpulan dengan perkataan 'identity' menjadi CNBLUENTITY adalah untuk

menggambarkan identiti trio berkenaan.

Mereka pasti bakal mengembalikan nostalgia buat peminatnya menerusi lagu-lagu hit yang melonjakkan nama mereka seperti I'm a Loner, I'm Sorry, Love and Can't Stop dan banyak lagi.

Selain itu, CNBLUE juga akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu baharu dendangan mereka seerta beramah mesra dengan peminat setia yang digelar BOICE.

Sepanjang kerjayanya, CNBLUE sudah merakamkan lagu dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris dan bahasa lain dengan memiliki 11 album studio, 14 album mini (EP), 33 single, dan tiga album kompilasi.

Mereka pernah menerima pelbagai anugerah seperti Golden Disc Awards, Mnet Asian Music

Awards (MAMA) dan Melon Music Awards.

Selain muzik, ketiga-tiga ahli itu juga berbakat dalam bidang lakonan dan sering membintangi K-drama.

Maklumat tiket di Ticketing Tix.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 3:36 PM