PUKAU lebih 4,000 penonton setia menunggu 3 jam sebelum konsert.
PUKAU lebih 4,000 penonton setia menunggu 3 jam sebelum konsert.
Oleh Jaztina Alias


Walaupun tanpa anggota CNBLUE, kehadiran Jung Yong-Hwa yang juga penyanyi utama band rock dari Korea Selatan itu dalam konsert solonya di The Theatre Star, 1 Vista Exchange Green, Singapura, Sabtu lalu amat dinanti-nantikan peminatnya.

Buktinya, seawal jam 4 petang lagi pekarangan The Theatre Star sudah dibanjiri peminat kumpulan itu khususnya Jung Yong- Hwa walaupun konsert hanya akan bermula pada jam 7 malam.

Singapura adalah antara lokasi dalam konsert jelajah Asia Jung Yong-Hwa sempena album solonya berjudul One Fine Day yang dipasarkan pada Januari lalu.

Tahun lalu, CNBLUE yang turut dianggotai Lee Jong-Hyun (gitar), Lee Jung-Shin (bass) dan Kang Min-Hyuk (dram) menggegarkan Kota Singa itu.

Dalam konsert solonya itu, Jung Yong-Hwa berjaya memukau lebih 4,000 penonton yang sudah menantikan kehadirannya sejak awal lagi.

“Apa khabar Singapura? Saya gembira dapat bertemu anda untuk album sulung saya. Terima kasih kerana setia menanti saya. Kerana anda saya datang semula ke sini,” katanya sebelum disambut sorakan penonton.

Penyanyi berusia 26 tahun itu membuka per­sembahan dengan lagu balada berjudul Without You daripada album solonya.

Penyanyi yang memiliki suara bernada tinggi itu terus menghangatkan suasana dengan lagu Ryu Can Do It sebelum memukau penonton dengan alunan keyboard dalam lagu Last Leaf dan Like A Child.

Jung Yong-Hwa yang berkebolehan menulis lagu dan lirik ini sekali lagi membuatkan peminatnya tidak senang duduk apabila menyanyikan lagu popular CNBLUE seperti I’m ­Sorry dan Can’t Stop dan Lady secara medley dengan susunan muzik yang lebih segar berbeza daripada konsert sebelumnya.

Dia kemudian mengembalikan ingatan peminatnya dengan lagu Love Light, tetapi kali ini lagu itu diubah susunan muziknya daripada balada kepada rock.

Berbanding konsertnya yang ditonton penulis di Korea Selatan Februari lalu, banyak perubahan dilakukan kali ini.

Walaupun tanpa penya­nyi Singapura, JJ Lin dan Verbal Jint dari Korea Selatan iaitu rakan duetnya dalam lagu Checkmate dan Energy, Jung Yong-Hwa tetap menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin itu secara solo dengan baik.

Malah, dia mendapat sorakan dan tepukan gemuruh dari­pada penonton yang kebanyakannya wanita terutama ketika melakukan rap.

Bagi lagu Mileage, Jung Yong-Hwa juga lebih selesa dengan nyanyian dan tariannya biarpun tanpa Yang Dong-Geun atau lebih dikenali sebagai YDG.

Dia juga menunjukkan penghargaannya dengan me­nyelitkan perkataan ‘lah’, dan ‘Oh Singapore’ dalam slanga Singapura ketika menyanyikan lagu itu.

Jung Yong-Hwa yang juga dikenali sebagai ‘choding’ bermaksud kebudak-budakkan oleh peminatnya turut mengusik pemuzik pengiringnya hingga keadaan menjadi gamat.

Setiap perlakuannya di pentas membuatkan penonton tidak bosan. Malah, dia juga sempat bergurau mengatakan dia sudah boleh berbahasa Inggeris dengan baik sebagai persediaan konsertnya tahun ini.

Persembahan selama dua jam itu turut dihangatkan dengan lagu seperti Cruel Memories, Stay You, Goodnight Lover dan 27 Years yang dihasilkan bersama pemuzik dan pengarah dari Amerika Syarikat, Peter Malick.

Selain itu, Jung Yong-Hwa turut membawakan lagu ‘cover’ seperti Payphone daripada Maroon 5 dan Treasure (Bruno Mars).

One Fine Day menjadi lagu terakhir yang dinyanyikannya yang membuatkan peminatnya ‘mengeluh’ kerana itu petanda konsert ‘One Fine Day In Singapore’ akan melabuhkan tirainya.

“Today is one fine day because of you,” katanya sebelum meninggalkan pentas dan berjanji akan kembali ke Singapura lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 12:30 PM