Annyeonghaseyo!!!

Bukan semua artis Korea Selatan mampu bertahan untuk terus aktif sepanjang masa dengan aktiviti seni. Buat seketika, mereka juga perlu berehat dan tinggalkan bidang itu demi ketenangan diri.

Tidak terkecuali anggota ASTRO iaitu Moonbin yang mengesahkan dia bakal berehat. Ramai sedia maklum penyanyi itu baru-baru ini ada masalah kesihatan.

Agensi Fantagio Music mengeluarkan kenyataan rasmi yang Moonbin tidak akan menyertai sebarang aktiviti ASTRO selepas ini. Agensi itu mendedahkan Moobin tidak sihat.

“Kami berterima kasih kepada kumpulan peminat ASTRO iaitu AROHA kerana tidak jemu memberikan sokongan. Kami ingin memaklumkan Moonbin akan berehat seketika daripada sebarang aktiviti seni.

“Sewaktu membuat persediaan untuk album baharu ASTRO, Moonbin berasa tidak sedap badan. Dia kemudian ke hospital untuk melakukan pemeriksaan dan disarankan berehat,” kata wakil agensi.

Menurut kenyataan itu lagi, Moobin perlu berehat panjang bagi memastikan kesihatan kembali pulih sepenuhnya.

“Moobin akan dirawat sepanjang tempoh berehat. Buat masa ini hanya lima anggota ASTRO akan menjayakan aktiviti yang sudah diatur untuk mereka termasuk acara 2019 ASTRO Japan Fanparty,” kata wakil itu.

Agensi terbabit juga meminta jasa baik semua pihak agar memahami situasi Moonbin. Ia berikutan ramai pengikut setia ASTRO risau dan tertanya-tanya apa penyakit sebenar Moobin.

“Tolong faham keadaan Moobin. Dia terpaksa berhenti seketika demi lebih bertenaga untuk aktiviti akan datang. Kami berjanji akan menjaga Moobin sebaik-baiknya,” kata wakil agensi.

ASTRO bakal melancarkan album mini keenam berjudul Blue Flame pada 20 November ini selain menjayakan konsert di Kobe, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:05 AM