SITI Elizad.
SITI Elizad.
Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Siti Elizad melengkapkan profil kerjaya seninya apabila dipilih menjadi pengacara program Mingguan Wanita dan penyampai radio Sinar FM.

Ini bermakna, Elizad, 35, atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohd Sharifuddin layak digelar artis versatil yang dalam masa sama berbakat dalam bidang nyanyian.

Pembabitan Elizad dalam dua cabang seni itu sekali gus mengekal dan mengukuhkan namanya dalam industri hiburan tanah air.

Dalam erti kata lain, populariti dicipta Elizad bukan daripada kisah kontroversi sebaliknya hadir dengan bakat yang dimiliki.

Malah, menurut Elizad apa yang dilakukan bukan untuk menunjukkan kehebatan atau bersikap tamak, sebaliknya menganggap itu semua adalah rezeki dan peluang yang tidak boleh dipersia-siakan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki Allah berikan. Pada usia sekarang, saya masih mendapat tempat dan menjadi pilihan. Paling penting, mereka memberi kepercayaan untuk saya buat.

“Saya menganggap semua ini adalah peluang keemasan yang tidak akan datang selalu. Kalau saya tak ambil sekarang, belum tentu dapat lagi. Jadi, saya kena ambil dan beri ruang kepada diri untuk buktikan kemampuan.

“Menjadi pengacara dan penyampai radio cukup asing buat saya. Tidak pernah terfikir pun selama ini untuk menggalas tanggungjawab itu. Macam dikatakan tadi, ini adalah rezeki bukan tamak,” katanya.

Elizad yang mencipta fenomena menerusi drama Aku Yang Kau Tinggalkan pada Ramadan lalu berkata, dia sentiasa membuka ruang buat peminat untuk memberikan sebarang maklum balas.

Malah, Elizad yang juga juara program nyanyian Gempak Superstar tidak kisah dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya.

“Saya lebih suka kalau ada yang komen dan kritik. Saya jenis yang sentiasa tunggu dan bersedia dengan apa juga maklum balas.

“Saya berasakan, perkara sebegini penting demi kemajuan diri. Kalau tak ada yang tegur atau kritik, mana mungkin kita dapat tahu kelemahan diri. Jadi, jangan takut untuk buat silap.

“Sebagai orang baharu dalam bidang ini, saya anggap semua ini sebagai satu proses pembelajaran. Saya pilih jalan ini, jadi saya kena terima apa juga kemungkinan yang datang. Kalau maklum balas diberikan positif, saya bersyukur. Jika sebaliknya, saya tetap terima,” katanya.

Elizad berkata, selepas lebih seminggu bersiaran di kaca TV dan seminggu di konti, dia semakin serasi dengan gandingannya.

Menurut Elizad, dia juga semakin seronok kerana itu semua benda baharu dalam dirinya.

“Walaupun pada awalnya saya ‘bergelut’ sebab nak kena belajar benda baharu, lama kelamaan saya rasa seronok.

“Kebetulan, saya dipertemukan dengan pasukan yang bagus, jadi semuanya mudah. Semangat nak bekerja lebih lagi dan kerjasama kami berjalan lancar.

“Saya juga bertuah apabila gandingan dalam Mingguan Wanita dan Sinar FM terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Mereka juga banyak membantu saya,” katanya.

Berkongsi mengenai gandingan bersama Hefny Sahad dalam segmen Duo Sinar, Elizad berkata ia satu pengalaman baharu.

“Saya hilang kata-kata apabila ditawarkan tugas ini. Namun, saya yakin pihak stesen radio ada sebab tersendiri kenapa memilih saya dan digandingkan dengan Hefny. Saya terima tawaran ini sebagai satu cabaran.

“Alhamdulillah, sepanjang seminggu latihan sebelum memulakan siaran sebenar Isnin lalu, saya belajar banyak perkara dan akan terus memperbaiki diri,” katanya kepada Harian Metro.

Elizad juga bersedia menerima apa saja kritikan daripada peminat dan pendengar setia stesen radio itu.

“Saya mengendalikan segmen yang dianggap penting. Jam itu adalah waktu puncak di mana orang mula memandu pulang ke rumah. Jadi, menjadi tanggungjawab kami untuk menghiburkan pendengar.

“Cuma, pada peringkat awal saya berharap pendengar setia Sinar bagi segmen petang memberikan maklum balas dan kritikan. Positif atau negatif saya sedia terima dan okay saja.

“Ia dapat membantu saya dan Hefny memperbaiki penyampaian kami. Kalau boleh, tak nak jadi syok sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 9:00 AM